PRK Chini: Persaingan tiga penjuru

PEKAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan calon dari BN, Mohd Sharim Md Zain dan dua calon bebas, Tengku Dato’ Zainol Hisham Tengku Hussin dan Mohd Syukri Mohd Ramli

Advertisement

Mereka mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum tempoh penamaan calon tamat jam 10 pagi tadi.

Pengumuman rasmi calon yang bertanding dibuat Pegawai Pengurus PRK, Dato’ Zaliza Zulkipli setengah jam selepas tempoh pencalonan tamat.

Terdahulu, Tengku Zainol yang pertama menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.00 pagi diikuti Sharim Md Zain, pada jam 9.01 pagi, manakala Syukri Ramli, pada jam 9.04 pagi.

Proses penamaan calon PRK DUN Chini berlangsung di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) sebagai Pusat Penamaan Calon dan dengan tempoh masa satu jam diberikan SPR bagi semua calon mengemukakan Kertas Penamaan Calon masing-masing.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Allahyarham selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.- HARAKAHDAILY 20/6/2020