4 minggu Kedah ‘smooth and steady’

“EH, Kedah macam mana? Dah sebulan Haji Sanusi jadi MB, ok ke?”

Ini soalan yang biasa ditanya sejak usia pentadbiran MB genap sebulan. Ada yang tanya secara berdepan, ada yang tanya melalui media sosial.

Maksudnya, orang memberi perhatian kepada Kedah. Adik bongsu memang macam itu. Semua orang beri perhatian. Ada yang sayang, ada yang cemburu.

Sepanjang 4 minggu, macam-macam pihak yang datang jumpa MB. Baik Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Polis, ketua jabatan, ketua syarikat, ketua agama, ketua parti, ketua kampung, ketua projek, tukang lobi, tukang kipas, tukang hentam, semua ada!

Advertisement

“Kenapa, hang tengok Kedah ini macam mana? Ada bunyi pelik-pelik ke?”

Soalan itu dipulangkan kembali kepada yang bertanya.

“Dak. Tak bunyi apa pun. Saja lah aku tanya hang. Aku tengok Sidang Media MB hari Rabu baru ini (sidang media selepas Mesyuarat Exco), MB relaks dan ceria ja. Nampak macam tak dak apa-apa masalah.”

Penyoal tadi menyambung bicara. Kelihatan riak wajahnya menunggu satu jawapan untuk memuaskan hatinya.

Ya. Memang dalam tempoh sebulan ini, pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah berjalan dengan baik dan lancar. Tiada gangguan, tiada halangan, tiada masalah. Semuanya berjalan dengan baik, smooth and steady.

Pelantikan Ahli Majlis PBT, selesai. Pelantikan JPKK (dahulunya dikenali sebagai JKKK), selesai. Pelantikan penyelaras DUN, selesai.

Di Kedah, ada 4 parti yang memerintah. PAS, Umno, PPBM dan bekas PKR (kini dikenali sebagai PKN-Penggerak Komuniti Negara). Biasanya, lagi banyak bilangan rakan-rakan dalam satu gabungan muafakat politik, lagi lama masa yang diambil untuk membuat satu-satu keputusan, terutamanya berkaitan lantikan jawatan politik. Tetapi di Kedah, 4 minggu, selesai. Alhamdulillah.

Berdasarkan pemerhatian, ada 4 faktor mengapa pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah ini berjalan dengan baik dan lancar.

Faktor pertama, MB ada pengalaman mentadbir.

Walaupun MB baru 4 minggu angkat sumpah, namun MB ada pengalaman selama hampir 5 tahun berkhidmat di Pejabat Menteri Besar. MB adalah Setiausaha Politik kepada Almarhum Tan Sri Ust Azizan Razak ketika itu. Selok-belok mengenai pentadbiran, kedudukan GCL, hal ehwal politik pejabat dan kakitangan, kerenah rakan, muslihat seteru, semua pernah dihadapinya.

Setiap kali ada perkara yang kami ajukan kepada MB, beliau tahu apa yang nak dibuat. Jika perkara itu perlu tindakan pihak lain, MB beritahu kami siapa yang patut dirujuk. Jika perkara itu melibatkan keputusan, MB akan bertanya beberapa perkara untuk dapatkan maklumat. Dah cukup maklumat, baru MB buat keputusan. Jika ada dokumen yang perlu tandatangan, beliau akan baca dan teliti dokumen itu satu persatu. Tak cukup masa di pejabat, MB baca dokumen itu di rumah.

Ada juga yang nak ambil kesempatan. Depa kata MB ini baik, orang kampung, mudah buat kira. Ada yang buat mudah nak dapatkan sokongan tandatangan MB untuk satu-satu permohonan.

“Takpa, minta MB minit ja kat atas surat itu. Tulis ‘disokong’. Cukup. Lepas itu saya tahu nak buat apa.”

Ada juga yang cakap macam ini. Dia mai jumpa kami, dia pula yang suruh buat itu ini. Ini memang lawak.

Setakat yang dikenali, MB tidak mudah terpengaruh dengan orang lain. Datanglah siapa pun, MB akan mendengar apa yang diperkatakan. Sesekali mengangguk nampak macam bersetuju. Nampak saja macam bersetuju, tak semestinya setuju. Yang pasti, MB akan mendengar terlebih dahulu. Lepas itu baru MB beri pandangan atau ulasan. Biasanya, pandangan MB itu akan diterima oleh orang yang bertemunya.

Hampir setiap kali MB membuat sesuatu keputusan, MB akan berkongsi mengapa keputusan itu dibuat. Apa justifikasinya, apa implikasi selepas itu dan apa langkah seterusnya. Semua itu dikuasai oleh MB, walaupun usia pemerintahannya baru memasuki minggu kelima.

Sikap peribadi yang tegas dan teliti, ditambah pula dengan pengalaman yang ada, menjadikan MB tahu dan yakin dengan apa yang dia buat. Itulah ilmu yang sedang kami cedok daripada beliau satu persatu.

Ada orang kata, “kalau 4 minggu ini lancar, maka lancarlah 4 tahun akan datang”. Tengok gaya ini, dengan izin Allah, lancar sampai ke akhir. Ameen.

(3 faktor lagi akan dikongsi dalam tulisan seterusnya. Tunggu)

AFNAN HAMIMI – HARAKAHDAILY 21/6/2020