Kerajaan Islam: Berperang demi hak rakyat miskin

ISLAM telah mengubah masyarakat Arab Jahiliyyah daripada masyarakat tidak bertamadun kepada sebuah kerajaan yang mampu mengalahkan Tamadun Rom. Islam hadir sebagai sistem kehidupan yang sempurna meliputi aspek pemikiran, spiritual, fizikal, moral dan kemanusiaan sehingga manusia yang tidak berpendidikan mampu membina sebuah tamadun apabila mengamalkan Islam secara komprehensif.

Ramai daripada kita terpesona dengan sistem ekonomi Sosialisme Barat yang membela nasib masyarakat bawahan kebanyakan, namun ramai terlupa bahawa Islam hadir dengan dasar dan polisi menjamin hak golongan miskin secara mandatori dan menjadi sebahagian daripada tuntutan akidah. 

Dalam Islam, membela hak golongan miskin melalui harta orang kaya adalah kewajipan dan meninggalkannya adalah salah dari sudut Undang-undang Negara Islam dan berdosa di sisi Allah. Golongan miskin tidak perlu berdebat, berdemonstrasi, atau melakukan rusuhan demi menuntut hak mereka kerana Islam menjamin perkara ini melalui tanggungjawab bagi setiap pemimpin Negara Islam.

Advertisement

Sebahagian daripada sabda Baginda S.A.W ketika mengutus Muadz bin Jabbal ke Yaman:

…فأعلمهم أن الله تعالى افترض عليهم صدقة تؤخذ من أغنيائهم فترد على فقرائهم…

“Maka ajarkanlah kepada mereka bahawa Allah S.W.T mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) yang diambil dari mereka yang kaya dan diberikan kepada mereka yang miskin.” (1)

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi (1998) di dalam buku beliau, Limaza al-Islam?, Kerajaan Islam adalah kerajaan pertama yang mengisytihar perang demi membela hak fakir miskin daripada harta masyarakat kaya. Perkara ini dibuktikan dengan tindakan Abu Bakar al-Siddiq selaku pemimpin pertama umat Islam selepas Nabi Muhammad S.A.W yang menghantar seramai 11,000 orang tentera demi memerangi golongan yang tidak mahu membayar zakat. (2)

Abdul Rahman Abdullah (1988) di dalam bukunya Sejarah dan Tamadun Islam merekodkan, Abu Bakar al-Siddiq (632-634M) ketika menjadi khalifah menghadapi cabaran daripada 3 golongan umat Islam yang menentang Kerajaan Islam di bawah kepimpinan beliau. (3)

Golongan pertama ialah golongan yang baru memeluk Islam tetapi mereka tidak memahami Islam dengan baik dan tidak dapat belajar dengan sempurna. Apabila Nabi Muhammad S.A.W meninggal dunia, mereka murtad.

Golongan kedua ialah golongan Nabi-nabi palsu dan pengikut mereka. Antaranya Musailamah al-Kazzab daripada Bani Hanifah di Yamamah, Tulaihah bin Khuailid daripada Bani Asad, Nabi wanita iaitu Sajjahdan daripada Bani Tamim dan pengikut-pengikut Aswad al-Ansi yang dipimpin oleh Qais bin Yaghus di Yaman. Semua mereka mengaku Nabi di atas faktor taksub perkauman yang tidak mahu Islam dipimpin oleh kaum Bani Hashim.

Golongan ketiga ialah golongan yang tidak mahu membayar zakat. Mereka dipimpin oleh Malik bin Nuwairah dari Bani Tamim. Kebanyakan mereka tinggal di Yaman, Yamamah dan Oman. Pada pendirian mereka, menurut ayat 103 surah al-Taubah, hanya Nabi Muhammad S.A.W yang layak mengutip zakat.

Abu Bakar al-Siddiq menghadapi ketiga-tiga golongan ini dengan tegas. Disusun bala tentera untuk menghadapi penentang-penentang ini. Mereka dipujuk untuk bertaubat namun berdegil masih tidak mahu kembali mengamalkan Islam yang sebenarnya. Maka, Abu Bakar al-Siddiq menghantar bala tentera kepada mereka.

Zakat dari sudut bahasa bermaksud penyucian. Makna ini dapat difahami melalui firman Allah S.W.T di dalam surah al-Syams, ayat 9.
Firman Allah S.W.T:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا (9)

“Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya.”

(al-Syams: 9)

Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam yang penting, ianya sabit daripada dalil yang qath’ie. Mengingkari kewajipannya boleh menyebabkan jatuh kafir. Ibadah zakat diwajibkan kepada umat Islam bermula pada tahun kedua Hijrah Baginda S.A.W. (4)

Dalil kewajipan menunaikan zakat.

Firman Allah S.W.T:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ (43)

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjamaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”

(al-Baqarah: 43)

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ يَقُولُ: “بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ”.

“Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Umar R.A, berkata: Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Islam itu didirikan atas lima (perkara) – Menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa di bulan Ramadhan.” (5)

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah S.W.T telah menyatakan di dalam surah al-Taubah, ayat 60 mengenai mereka yang layak menerima zakat. Allah S.W.T berfirman:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (60)

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir dalam perjalanan. Ketetapan hukum yang demikian itu ialah sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(al-Taubah: 60)

Dr Abdul Basith Abd Rahman (2012) di dalam buku beliau Mahasin al-Islam mencatatkan, solat dan zakat mempunyai hubungan yang istimewa. Allah telah menyebut berkenaan solat dan zakat dalam ayat sama di beberapa tempat di dalam al-Quran. Jika solat menjadi manifestasi kepada hak Allah atas manusia melalui hati dan anggota badan maka zakat menjadi bukti hak Allah ke atas manusia melalui pendapatan dan hartanya. (6)

Demikianlah Islam mengajar kita bagaimana mengurus pendapatan rakyat dalam membangun negara dan ekonomi rakyat iaitu mengambil daripada mereka yang kaya dan mengagihkannya kepada mereka yang memerlukan sebagai modal sokongan untuk menuju kekayaan. Inilah muafakat ekonomi Islam, dengan itu, yang kaya boleh terus untuk kaya, dan yang miskin pasti berpeluang untuk menjadi kaya.

Wallahua’lam.

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Penolong Bendahari, 
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Rujukan:

(1) Hadis Riwayat al-Bukhari (1,331) dan Muslim (19).
(2) Dr Yusuf al-Qaradhawi (1998), Limaza al-Islam?, (Kelantan: Penerbitan al-Taqwa), hal. 52.
(3) Abdul Rahman Abdullah (1988), Sejarah dan Tamadun Islam, (KL: Teks Publishing Sdn. Bhd.), hal. 97.
(4) Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji (2013), al-Fiqh al-Manhaji, (Damsyik : Darul Qalam), hal. 271.
(5) Hadis Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16).
(6) Dr Abdul Basith Abd Rahman (2012), Mahasinul Islam, (KL : Telaga Biru Sdn Bhd.), hal. 83. – HARAKAHDAILY 21/6/2020