Pojok

HARI ini saya mahu menulis seperti pojok. Tiga isu dalam satu tulisan. Bukan selalu, tetapi sebab PRK dah dekat, jadi pasti akan banyak isu-isu yang pembangkang akan keluarkan. Saya sekarang ini melihat tiga isu utama, sama ada serangan kepada PN ataupun kelemahan PH yang rasanya patut rakyat tahu mengenai gerakan mereka ini.

PKR – Lone Ranger

Hasrat PKR yang mahu melawan Kerajaan PN dengan motto ciptaan DAP iaitu amar makruf nahi mungkar, nampaknya semakin kabur. Semua orang dapat melihat, PKR bagaikan keseorangan dalam PH sekarang. DAP juga sudah condong menyokong Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri (PM). PAN, pengikut setia tidak berbelah bagi DAP juga turut mengibarkan bendera sokongan mereka. Apa yang telah terjadi sebenarnya? Adakah PKR telah dikhianati?

Ronnie Liu adalah penggerak utama kempen menaikkan Anwar sebagai PM menggantikan Tun. Apa yang tidak beliau kata kepada Tun? Harimau Kertas, membuat ‘countdown’ tempoh peralihan, maki juga ada bersama dikeluarkan di Twitter atau Facebook (FB) beliau. Tidak pernah diam. Sekarang beliau diam. Kenapa? Ingat formula asas politik PH dahulu? Apabila musuh mula menyokong, pasti ada yang tidak kena. Apa yang tidak kena?

Advertisement

PKR kini dilihat keseorangan. Untuk menang menjadi kerajaan, mestilah parti-parti politik itu mengadakan gabungan dengan parti-parti lain. Sehingga kini di Malaysia, hampir mustahil sebuah parti akan menjadi kerajaan majoriti. Jadi PKR mesti bergerak mencari rakan kongsi. Ingat lagi bagaimana seseorang masuk melalui pintu belakang ke istana ‘kerajaan pintu belakang’ tempoh hari? Ya, perlahan-lahan mereka akan tinggalkan PH konon mengkhianati mereka. Perahu mereka sedang perlahan-lahan menuju ke pulau PN.

Oleh itu DAP mendiamkan diri, berpura-pura menyokong Tun M. Mereka berdrama menjadikan PKR mangsa. Harapan tertinggi mereka, masih lagi Anwar untuk mereka berpaut setelah dibelasah hebat oleh rakyat akibat kebencian yang mereka sendiri ciptakan ketika berkuasa dahulu. Adakah anda perasan tiada serangan yang kuat terhadap kerajaan ‘Abah’ sekarang? Hampir lesu. Pertama kerana memang tiada isu. Keduanya kerana mahu mencipta gabungan baru. Kita tunggu dan lihat. Mungkin pandangan saya salah.

Bil elektrik

Beberapa hari yang lalu, heboh berkenaan dengan isu bayaran bil elektrik yang dikatakan amat menekan pengguna. Dibicarakan perihal bil yang didakwa tidak menepati kiraan yang betul. TNB dicanang sengaja tidak mahu memeriksa bil secara berkala dengan alasan PKP. Sekali gus bil menjadi tinggi. Tidak lupa juga ada tuduhan sesetengah rakyat yang hanya tahu mengguna, tetapi tidak mahu membayar. Tetapi ada banyak juga kes yang tersalah kira.

Saya sudah menulis berkenaan ini secara ringkas dan ada menyatakan bahawa isu ini akan memberikan imej positif kepada PN. Disebabkan itu maka pembangkang hanya berdiam diri, tidak mahu bersuara mewakili rakyat sebagaimana kebiasaan mereka. Lihat sahaja DAP di Perak, rumput tinggi pun mahu dijadikan isu. Sepatutnya bil tinggi lagilah menjadi isu. Tetapi mereka menutup mulut.

Rupanya memang benar. Kerajaan PN mengisytiharkan bantuan kepada jutaan rakyat bagi menyelesaikan masalah bil ini. Rakyat rasa gembira. PH berdukacita. Keadaan yang sudah ketandusan isu, makin kekeringan idea untuk mereka mencipta persepsi. PN sekali lagi menjadi wira rakyat.

PAN serang PAS

PAN beberapa hari lepas dilihat agak galak menyerang PAS, terutama Kerajaan Terengganu. Sesudah isu apa yang mereka katakan sebagai hal terdesak PAS Terengganu mahu mencari dana PRU dengan meminta wang daripada kontraktor. Malangnya seperti biasa, tuduhan hanya melalui akhbar mereka, tidak sampai ke SPRM. Dikatakan ianya sudah lama berlaku, oleh itu kenapa tidak dilaporkan kepada SPRM sewaktu mereka menjadi kerajaan dahulu. Cakap kedai kopi dibawa masuk dalam akhbar.

Jumlah wang yang PAS perlukan sekarang sudah berbeza berbanding dengan jumlah sebelum PRU dahulu. Dulu, RM90 juta, sekarang RM30 juta. Mungkin kerana untuk Terengganu sahaja, jadi RM30 juta. Tetapi bagaimana negeri-negeri lain? Tak akan PAN tak tahu berapa banyak keperluannya? Lagi persoalannya, PAS sudah menjadi Kerajaan PN, habis nak lawan siapa lagi? Di Terengganu PAS hanya ada PAN sebagai lawan yang semuanya kehilangan deposit. Tak akan nak kumpul sampai RM30 juta semata-mata nak lawan PAN. Membazir… baik sedekah.

Isu ini tak lain hanya untuk kempen PRK Chini sahaja. Tapi PAN salah target sebab yang bertanding di sana Umno bukan PAS. Dan jika memang PAN nak jatuhkan PN pun, tak berbaloi sebab PAS 8 kerusi DUN saja. PAS bukan tulang belakang PN. Hek eleh, habis itu yang PAS tak puas-puas serang PAN itu kenapa? Kan PAN parti nyamuk, bukan banyak kerusi pun, bukan tulang belakang PH pun?

Helo bro, PAS tak serang PAN, PAS serang DAP. DAP itu tulang belakang PH, sebab itu sasaran PAS jelas. Diakui Tun yang DAP menguasai PH. Tapi masalahnya PAN itu yang terjerit-jerit, tergolek-golek macam histeria bila DAP kena serang. DAP ok saja bila PAS serang, yang PAN meracau apa hal?

MOHD NASIR ABDULLAH
21 Jun 2020 – HARAKAHDAILY 21/6/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.