PTMP mesti disemak semula, PSR wajib batalkan

SUATU pihak berdegil mahu teruskan. Suatu pihak lagi juga tetap degil mahu batalkan tambak laut Selatan Pulau Pinang. Sesiapa sahaja bersama Nelayan Pulau Pinang sebagai pemegang taruh paling terkesan yang membantah projek PSR ini, anda bersama kami atas matlamat yang sama.

Kita pernah ada Menteri Alam Sekitar yang tak peduli pun mengenai tambak laut Pulau Pinang tapi gigih bercakap soal Climate Change. Seolah-olah dia tak nampak bahawa tambak laut ini akan ada kesan kepada perubahan iklim.

Ya-lah, aksi-aksi dramatik bekas menteri lawan single use plastic yang sangat cool dan menawan itu telah mengaburi warganet yang tak ikuti wacana alam sekitar secara menyeluruh. Lebih malang kalau warganet jenis suka ‘headlines’ berita saja. (Jangan salah tafsir pula pi kata saya tak sokong benda baik yang beliau dah buat pula!)

Beberapa hari lepas kita dapat maklumat bahawa ada delegasi Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang bertemu Menteri Kementerian Alam Sekitar Dan Air menghantar memorandum memohon pembatalan projek ini.

Advertisement

Kami daripada gerakan Penang Tolak Tambak menyambut baik tindakan ini. Kita harap ada saja lagi wakil mana-mana entiti tak kira apa saja latar tampil beri tekanan supaya tindakan dilakukan segera oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang pernah keluar kenyataan 5 sebab beliau membantah Tambak Laut PSR sewaktu beliau belum jadi menteri lagi.

Untuk makluman orang ikuti isu PSR ini, kuasa penuh berkaitan tanah dan persisiran pantai adalah bidang kuasa negeri. Namun Pihak Berkuasa Negeri tertakluk kepada beberapa pematuhan di peringkat Persekutuan berkaitan dengan beberapa kementerian.

Berikut adalah 5 poin penting bagi memahami situasi dan perkembangan isu ini:

(1) Kelulusan EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) di bawah bidangkuasa Jabatan Alam Sekitar. Pihak berkuasa negeri beriya-iya cakap PSR dah lulus. Sedangkan PSR tak mungkin diteruskan jika 72 syarat tak mampu pemaju dan pihak berkuasa negeri patuhi. Saya tak berniat nak hurai mengenai 72 syarat ini. Siapa nak tahu sila personal message (pm) tepi lah.

(2) Kelulusan Majlis Perancangan Fizikal Negara, melalui bidang kuasa Kementerian Wilayah berkait PLANMalaysia dan Rancangan Struktur Negeri. Saya mendapat maklumat bahawa perkara ini masih tergantung. Tetapi macam biasa lah, pihak berkuasa sendiri setiasa claim bahawa semua perkara lulus secara ‘perfect’.

(3) 4 syarat ‘mustahil’ daripada Menteri Pertanian dan Asas Tani sebelum ini (kini Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) yang mesti dipatuhi oleh pemaju untuk jaga kepentingan nelayan. Keadaan kini pun, laut semakin tercemar, nelayan terjejas dengan algae bloom yang meranapkan pengusaha ikan sangkar baru-baru ini. Apakah pihak berkuasa negeri sudah tak mampu celik untuk melihat bahawa 4 syarat ini signal protes bekas menteri sebelum terhadap pihak berkuasa negeri yang bersama pemaju degil mahu teruskan projek ini.

(4) ‘Bridging finance’ untuk kick start projek PSR ini kira-kira RM2.6 bilion yang diharap-harap telah hancur apabila Lim Guan Eng bekas Menteri Kewangan hilang kuasa. Kami yakin beliau melobi kuat untuk rundingan supaya 4 konsesi lebuhraya bawah Gamuda diserah kepada Kerajaan Persekutuan. Saya dapat maklumat bahawa rundingan penting diri untuk ambil dana demi agenda PSR telah dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan sekarang. 100 juta kereta kabel yang berisiko rosak alam pun dah batal. Kini bridging finance juga batal.

(5) Pemulihan semula ekonomi pasca COVID-19 juga menghalang daripada PSR ini dapat diteruskan dengan rancak. Pelaburan scam RM46 bilion yang tak viable ini semakin menuju jalan buntu terkesan daripada fenomena COVID-19.

Kami pihak masyarakat sivil yang daripada awal sehingga berjaya bawa isu PSR ke Parlimen mengharapkan PSR ini cepat batal.

Betapa PSR ini telah buang masa rakyat, hanya semata-mata memuaskan agenda sombong dan tamak pihak tertentu.

Dah lama saya tak komen isu ini dalam posting facebook (fb). Saya komen hari ini bagi mengulas perkembangan seperti dalam laporan akhbar beberapa hari lepas.

Untuk negeri kita, kita mahu review PTMP dan batalkan PSR. Nanti senang saya ulas mengenai PTMP pula.

ZIKRULLAH ISMAIL
Kartel Degil Membantah PSR
Demi Kesejahteraan Masyarakat dan Negeri, Lawan Terus Lawan
Penang Tolak Tambak! – HARAKAHDAILY 21/6/2020