Jangan biarkan Anwar terus derita, sokong sahaja PN

“NAK suruh saya derita berapa lama lagi, sudahlah,” demikian keluhan Presiden PKR Anwar Ibrahim di dalam siaran FB livenya yang terbaru.

Beliau menggambarkan tidak bersedia menjadi calon Timbalan Perdana Menteri PH Plus manakala Tun Dr Mahathir yang cuma mewakili 5 kerusi naik sebagai PM ke-9.

Menerima Tun sebagai Perdana Menteri (PM) lagi bagi Anwar adalah satu penderitaan setelah Tun dua kali menjadi PM terakhir selama 22 bulan di bawah teraju PH. Bagi Anwar beliau cuma layak sebagai calon PM dan tidak lebih rendah dari itu.

Advertisement

Anwar yang juga Pengerusi PH mengeluh lagi:

“Mula-mula dia minta enam bulan dan dalam mesyuarat berikutnya minta jadi Perdana Menteri setahun dan apabila perkara ini ditekankan oleh Shafie (Datuk Seri Shafie Apdal) dia setuju enam bulan. Dan dia tak nak tolak ansur langsung dalam hal ini,”.

Polemik siapa jadi Perdana Menteri ini telah menghantui PH sepanjang 22 bulan pemerintahan mereka iaitu ketika mereka berkuasa dan kini walaupun kuasa tiada lagi dalam tangan mereka terus berbalah isu PM ini. Ternyata rakyat sudah muak dan bosan dengan agenda Mat Jenin PH ini.

Sementara itu tiada sebarang petunjuk yang membayangkan bahawa PH Plus akan mampu mengumpulkan cukup kerusi sekurang-kurangnya 112 untuk mencabar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada pada hari ini.

Yang ada cumalah porak peranda di kalangan parti-parti komponen PH Plus, Tun sendiri berserta ‘Kumpulan 5’-nya sudah pun dipecat dari BERSATU dan kini tiada berparti lagi terus menghadapi kesukaran untuk bergerak, manakala terdapat desas-desus yang beberapa MP dan ADUN dari PKR dan WARISAN dijangka akan meninggalkan parti mereka masing-masing untuk menyokong PN. Malah ada yang membayangkan terdapat juga dari kalangan DAP dan PAN.

Dan dalam pada itu GPS pula telah mengeluarkan kenyataan bahawa gabungan politik Sarawak itu tidak berminat untuk menyokong Anwar Ibrahim tambahan DAP yang mereka musuhi merupakan rakan kongsi Anwar dalam PH. GPS kekal teguh di belakang Tan Sri Muhyiddin.

Oleh itu tanpa kerusi yang mencukupi bilangan, Anwar sepatutnya tidak perlu derita malah terimalah hakikat bahawa memang Kerajaan PN ini akan kekal dan jika benar berlaku pula penghijrahan dari kalangan MP serta ADUN PH Plus, maka muktamadlah penguasaan PH di Putrajaya dan Anwar tanpa perlu gundah-gulana tumpulah tugas sebagai Ketua Pembangkang tanpa memasang angan-angan yang berlebih-lebihan, ambil iktibarlah dari kesudahan Mat Jenin.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 22/6/2020