PAS gesa pencemaran najis babi diselesaikan

TASEK GELUGOR: PAS Negeri Pulau Pinang akan membawa isu pencemaran sungai yang berpunca daripada kegiatan penternakan babi untuk tindakan penyelesaian oleh pihak Kerajaan Persekutuan.

Advertisement

Usaha tersebut akan digerakkan melalui PAS Kawasan Tasek Gelugor melibatkan Sungai Kreh dan melangkaui beberapa sungai dan perkampungan lain dalam Daerah Seberang Perai Utara, di sini.

Malangnya, penduduk yang menerima akibat dari pencemaran tersebut dengan bau busuk meloyakan, serta kesan atas kesihatan dan ketidakselesaan hidup adalah majoriti besar masyarakat Melayu-Islam.

Difahamkan terdapat lebih 70 kandang yang menternak hampir 100,000 ekor babi terletak di Kampung Selamat, Kepala Batas menjadi penyebab pencemaran lebih 13 kilometer sungai terbabit.

Malah, pencemaran tersebut turut membawa kesan ke atas aktiviti pertanian seperti kelapa serta kelapa sawit, selain sawah padi yang salirannya bercampur air sungai bernajis mughallazah itu.

Paling menimbulkan trauma kepada penduduk setempat apabila berlakunya banjir, namun kekecewaan mereka sejak puluhan tahun gagal ditangani oleh silih ganti kerajaan yang memerintah.

HarakahDaily dibawa melihat keadaan tersebut menyusuri laluan serta kampung-kampung, sawah padi dan ladang pertanian sepanjang Sungai Kreh hingga ke Kampung Selamat, petang semalam.

Tinjauan ini diketuai serta diberi taklimat umum oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Tasek Gelugor, Mohd Sobri Saleh dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Abdul Razib Abdul Rahim.

Turut serta bersama adalah Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Zikri Ismail dan Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pulau Pinang, Saiful Lizan Yusoff.

Menurut Mohd Sobri, pihaknya komited untuk mengangkat permasalahan tersebut kepada penyelesaian oleh Kerajaan Perikatan Nasional yang memerintah Persekutuan ketika ini.

Katanya, supaya mendapat keutamaan dalam tindakan, usaha juga akan dibuat melalui Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian serta agensi-agensi lain.

Beliau percaya, sekiranya isu tersebut mendapat perhatian, ia akan memasuki sebahagian perancangan kerajaan yang membolehkan pembiayaan sewajarnya diperuntukan bagi menangani masalah itu.

Terangnya, bukan sahaja keselesaan penduduk majoriti diperjuangkan, tetapi hak minoriti dalam kalangan pengusaha juga diperbetulkan menerusi kaedah penternakan yang sepatutnya.

Maklum beliau, penternakan babi di situ dikatakan telah ada sejak lebih 50 tahun dan sisa kumbahan najis babi dibuang tanpa sebarang tapisan atau rawatan terus hingga ke dalam sungai terbabit.

Sementara itu, Saiful Lizan berkata, akibat pencemaran tersebut menyebabkan sungai berkenaan tidak dapat dijadikan sumber air untuk dibekalkan bagi keperluan dan kegunaan harian penduduk.

Bukan sahaja berbau busuk kesalinya, bahkan juga warna airnya hitam pekat serta sukar bagi hidupan air terutamanya ikan hidup, apatah lagi untuk aktiviti manusia seperti mandi dan penyiraman tanaman.

Malah menurutnya, terdapat Loji Rawatan Air (LRA) yang siap dibina bagi tujuan berkenaan sejak beberapa tahun lalu hingga kini tidak dapat dioperasikan kerana sumber air tercemar dari sungai itu.

Manakala Zikri memaklumkan, isu tersebut bukan sahaja akan dibawa ke Sidang DUN, tetapi akan disuarakan juga ke peringkat Sidang Parlimen dan Kabinet hingga mendapat penyelesaian. – HARAKAHDAILY 22/6/2020