Perluas kawasan MADA, tingkat hasil padi

PERTAMA sekali, saya ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya atas kesudian YB Menteri, YB Timbalan Menteri serta pegawai-pegawai kanan kementerian hadir ke negeri kami.

Sesungguhnya, Kedah adalah sebuah negeri pertanian dan lawatan seperti ini amat penting dalam usaha kita untuk memantapkan lagi kerjasama dalam sektor ini, yang begitu penting dalam industri makanan negara.

Dengan status negeri Jelapang Padi Negara, Kedah selama ini menyumbang antara 38 hingga 43 peratus daripada bekalan beras nasional.

Namun, sebagaimana yang kita sedia maklum, apa yang kita hasilkan masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan beras dalam negara kita yang menyebabkan kita terpaksa mengimport dari Thailand, Vietnam, India dan Pakistan.

Advertisement

Kehadiran pandemik COVID-19 baru-baru ini seharusnya jadi iktibar kepada kita apabila ada negara-negara ini yang menggantung sementara eksport beras ke negara kita untuk memenuhi keperluan domestik mereka. Mujur ianya tidak berlarutan.

Sehubungan itu, pada hemat saya, sudah sampai masa untuk kita mengambil langkah yang efektif untuk meningkatkan pengeluaran beras negara.

YB Dato’ Seri,

Kurang lebih seminggu sahaja lagi iaitu pada 30 Jun, agensi bawah Kementerian YB Dato’ Seri yang menjadi ‘tulang belakang’ bagi ekonomi dan pengeluaran padi negeri Kedah, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan meraikan ulang tahun penubuhan yang ke-50.

MADA ditubuhkan pada 30 Jun 1970 di Balai Besar Alor Setar. Jika tidak kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kita harus meraikan sambutan ulang tahun ini secara besar-besaran.

Ini bagi membakar semula semangat kita semua, daripada petani hingga pegawai-pegawai kerajaan serta ahli-ahli politik untuk kembali kepada inspirasi perjuangan yang membawa kepada penubuhan MADA.

Di sini, kita harus berterima kasih kepada Bapa Pembangunan Negara, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein yang mencetuskan gagasan penubuhan agensi yang sangat hebat ini.

Sebagai anak daerah Sik, walaupun bersulam dengan kisah sedih kehidupan orang kampung yang hidup miskin pasca kemerdekaan 1960-an, penubuhan MADA dikatakan tercetus daripada cerita kemiskinan rakyat digambarkan dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, karya Sasterawan Negara, Almarhum Prof. Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad.

Almarhum Prof. Dato’ Shahnon, anak Kampung Banggol Derdap, Sik mengambil inspirasi daripada kehidupan miskin keluarga Jeha dan Lahuma, juga masyarakat sekitar mereka yang berjuang untuk hidup dengan 1,001 kepayahan.

Namun, agak menyedihkan, daerah Sik sampai sekarang masih berada di luar kawasan MADA. Ketika MADA ditubuhkan, 70 peratus daripada masyarakat bendang berada bawah paras kemiskinan.

Mereka hidup miskin daripada satu generasi kepada satu generasi yang antara lain disebabkan sistem hutang yang dipanggil ‘padi kunca’. Orang kampung ambil barang keperluan dari kedai runcit dengan cara berhutang dan bayar ‘ikut musim’.

Apabila tiba musim menuai, mereka jual padi kepada pekedai runcit di mana mereka berhutang, dan hutang mereka akan ditolak daripada hasil jualan padi mereka.

Dalam erti kata lain, mereka bayar hutang setahun sekali sahaja. Ini menyebabkan mereka terpaksa bayar bunga atau faedah yang berlipat kali ganda.

Dalam kajian yang pernah dibuat oleh Allahyarham Dato’ Dr. Afiffuddin Haji Omar, mantan Exco Kerajaan Kedah dan bekas Timbalan Menteri Kewangan, dalam sistem ‘padi kunca’ ini, kadar faedah hutang ada yang mencecah hingga 700 peratus. Dengan bunga sebegitu tinggi, hutang mereka jadi warisan hingga beberapa keturunan.

Bagaimanapun apabila usaha Kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Kedua (RMK-2) menubuhkan MADA dan membina dua empangan untuk pengairan di Lembangan Muda iaitu Empangan Muda dan Empangan Pedu, kehidupan petani kita berubah drastik.

Musim padi daripada sekali jadi dua kali setahun, dan juga pembelian hasil padi oleh Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dan kini, Syarikat Beras Nasional atau Bernas telah melepaskan petani-petani kita daripada terus jadi mangsa ‘lintah darat’.

Hasilnya, jika 50 tahun dahulu, 70 peratus petani berada bawah paras kemiskinan, hari ini angkanya adalah bawah 1 peratus. Kalau dahulu hasil padi hanya 2.5 tan sehektar, kini antara 10 hingga 12 tan sehektar.

YB Dato’ Seri,

Empangan Muda dan Empangan Pedu dibina dengan kos pinjaman daripada Bank Dunia sebanyak USD$120 juta (RM512.3 juta). Pinjaman ini diberikan dengan syarat-syarat tertentu termasuk menegah tebus guna kawasan penanaman padi kepada penggunaan lain.

Namun atas sebab keperluan pembangunan, sudah banyak kawasan tanaman padi di sekitar bandar raya Alor Setar, Jitra, Pendang dan lain-lain kawasan yang terletak dalam kawasan MADA telah diubah jadi kawasan perumahan dan sebagainya.

Dalam keadaan ini, YB Dato’ Seri… kita di pihak kerajaan negeri menghadapi dilema. Diluah mati emak, ditelan mati bapa.

Untuk kita larang pembangunan, itu keperluan rakyat. Untuk kita terus benarkan, kita bimbang suatu masa nanti kalau bekalan beras daripada pengeluaran tempatan akan berkurangan, menyebabkan kita terpaksa lebih bergantung pada import yang akan menambah beban kewangan kerajaan.

Kerana itu, saya ingin memohon perhatian untuk YB Dato’ Seri dan pihak kementerian pertimbangkan. Di Kedah, kita ada lebih kurang 30,000 hektar lagi kawasan sawah padi di luar pentadbiran MADA iaitu di daerah Sik, Padang Terap, Baling dan Padang Serai di Kulim.

Sawah di kawasan ini sangat berpotensi untuk dimajukan sama seperti di kawasan MADA cuma kerana di luar pentadbiran MADA, ia kekurangan infrastruktur terutama pengairan selain tidak diuruskan secara sistematik sebagaimana dalam kawasan MADA.

Kerana itu, saya ingin mencadangkan kepada YB Dato’ Seri kalau boleh kita perluaskan lagi kawasan MADA kepada MADA Plus untuk kita tingkatkan lagi pengeluaran padi negara dengan cara ini. Ini bukan sahaja untuk kepentingan Kedah tetapi juga negara.

Setelah melihat kecemerlangan MADA dalam tempoh 50 tahun ini, saya yakin sudah sampai masa untuk kita perluaskan lagi ke kawasan-kawasan lain pula.

MADA ditubuhkan 50 tahun dahulu adalah dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan hasil negara dan meningkatkan kesejahteraan penduduk desa. Angka 56,000 keluarga tinggal dalam kawasan MADA dengan lebih 94 peratus daripada mereka adalah di Negeri Kedah sudah tentu sangat penting bagi kerajaan.

Dengan rekod yang sebaik ini, sekali lagi saya suarakan harapan untuk Kerajaan Persekutuan, khususnya MOA beri pertimbangan atas cadangan ini supaya nikmat dan manfaat yang telah diraih oleh petani-petani dalam kawasan MADA, kita sebarkan kepada petani-petani di daerah lain pula.

YB Dato’ Seri Menteri, Dato Timbalan Menteri dan semua anggota delegasi,

Di Kedah, terutama daerah Sik, kita ada aset penting dalam industri pertanian iaitu Institut Pengurusan Pertanian Organik Bersepadu (INSPEK) di Kampung Lintang, Belantik, Sik.

Penubuhan INSPEK diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 21 Ogos 2019 berperanan sebagai pusat kecemerlangan pertanian organik Negeri Kedah sejajar dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara (DAN) dan Dasar Pembangunan Luar Bandar.

Sehubungan itu, adalah diharapkan YB Menteri dan YB Timbalan Menteri dapat memberikan perhatian serius dalam memajukan institut ini yang sekarang telah mendapat pengiktirafan daripada beberapa pihak di luar negara dalam bidang kajian dan pengeluaran padi organik.

Di pihak kerajaan negeri, saya jamin kami akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam memenuhi apa jua hasrat kementerian dalam memajukan lagi sektor pertanian dan industri makanan.

Saya sendiri mempunyai komitmen peribadi untuk berusaha dan bekerja keras ke arah memajukan industri ini, mengambil kira pengeluaran makanan akan menjadi sangat penting dan amat perlu diberikan perhatian.

Sebelum mengakhiri ucapan aluan ini, suka saya mengingatkan bahawa kami di negeri mempunyai keyakinan yang amat tinggi serta menaruh sepenuh kepercayaan untuk bekerjasama erat dengan pihak kementerian.

Sudah amat jelas bahawa Kerajaan Negeri Kedah dan MOA mempunyai hala tuju yang sama iaitu meningkatkan hasil pengeluaran makanan untuk negara, dan juga memperjuangkan kesejahteraan bagi masyarakat petani, peladang, penternak dan nelayan.

Justeru, apa juga komitmen YB Dato’ Seri untuk usaha-usaha yang berkaitan dengan ini, daripada mencari tapak ladang atau tapak kilang, YB Dato’ Seri boleh berhubung dengan saya pada bila-bila masa.

Kami minta YB Dato’ Seri jalin kerjasama yang erat dengan Kedah kerana Kedah negeri miskin dengan kewangan yang terhad tetapi kami punya tanah untuk dimanfaatkan dengan projek pertanian.

Sekali lagi, saya amat menghargai dan ucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas kesudian YB Dato’ Seri Menteri, YB Dato’ Timbalan Menteri serta semua anggota delegasi kementerian berkunjung ke Kedah.

Kalau hari ini, datang meminang, insya-Allah kita harapkan lain kali datanglah lagi untuk kita mengahwinkan projek-projek yang boleh kita bawa kesejahteraan yang berlipat ganda pada rakyat.

Tinggi diharap padanya sawah,
Tempat pak tani menanam padi,
Jauhnya datang, nun dari Sabah,
Singgah di Kedah, menabur budi.

Berbumbung langit di tengah lautan,
Mencari rezeki tidak tentu tempat,
Membawa idea, membawa gagasan,
Dato’ Che Lah kita, datang dari Tumpat.

Dato’ Seri Menteri, Dato’ Timbalan,
Sama seganding perjuang misi kementerian,
Apa jua projek, Kedah jangan ditinggalkan,
Harapan kami melangit, lebih tinggi dari awan.

Sekian.

Wassalamualaikum.

Terima kasih.

HAJI MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Menteri Besar Kedah Darul Aman – HARAKAHDAILY 22/6/2020