Tubuh RCI TH, jawab tohmahan PH

KUALA LUMPUR: Rakyat berhak mendapat penjelasan tuntas tentang tuduhan penyelewengan dalam Tabung Haji (TH) seperti yang digembar-gemburkan oleh kerajaan sebelum ini, Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan diRaja (RCI) bagi menyiasat segala tuduhan penyelewengan tersebut.

Advertisement

“Walaupun RCI mengenai TH bukanlah sebahagian daripada janji kerajaan PN (sebaliknya janji manifesto PH), namun rakyat berhak mendapat penjelasan yang tuntas dan telus mengenai pelbagai tuduhan penyelewengan yang digembar-gemburkan oleh kerajaan PH terdahulu,” kata Asyraf dalam satu hantaran hari ini dimuatnaik di Facebooknya.

Ulasnya, bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam TH yang sehingga kini tiada satu pun berjaya didakwa ke muka pengadilan.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Ini termasuklah isu yang menyentuh hati rakyat tentang ura-ura pengurangan subsidi kepada jemaah haji dengan dijustifikasi oleh bekas Menteri Hal Ehwal Agama dari PH, Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa dengan menggunakan konsep Istitoah.

“Isu jualan lambak ke atas 76.2 peratus ladang-ladang milik TH Plantations yang berkeluasan 101,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar dengan kaedah yang begitu meragukan juga benar-benar membangkitkan keresahan 9.4 juta pendeposit di kalangan umat Islam.

“Ini tidak termasuk aset-aset lain TH bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd.

“Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan TH,” tambahnya.

Beliau turut berkongsi pendedahan terbaharu oleh bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak mengenai surat TH tentang pembelian semula 18 aset hartanah yang telah dipindahkan ke UJSB.

“Bekas Perdana Menteri, menunjukkan dengan jelas bahawa Menteri Agama waktu itu Dr Mujahid telah meluluskan hak perlucutan pertama (First Right of Refusal) terhadap pembelian semula 18 aset hartanah TH yang telah dipindahkan ke UJSB, jelas mencetuskan keresahan rakyat.

Selain itu, katanya sebelum PH memerintah, TH tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhannya.

Ia bukan sahaja dalam hal menguruskan hal ehwal kebajikan jemaah haji malahan juga menjana ekonomi umat Islam.

Kecemerlangan TH katanya, telah diiktiraf dunia bahkan pada setiap tahun prestasi kewangan TH cukup memberangsangkan.

Jelasnya, kecemerlangan ini membolehkan pendeposit menikmati hibah dan bonus pada setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25 peratus.

“Sebab itulah, apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal, defisit yang melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan.

“Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia meminta agar Kerajaan PN dapat segera menubuhkan RCI bagi menyiasat segala dakwaan penyelewengan dalam TH bagi mengembalikan keyakinan pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam terus terpelihara!” katanya.

Untuk makluman ini adalah gesaan julung kalinya kepada PN.

Sebelum ini, Asyraf pernah menyatakan desakan yang sama pada tahun awal tahun ini kepada kerajaan PH (semasa masih kerajaan) supaya menunaikan janji manifesto PH menubuhkan RCI bagi menyiasat segala tuduhan penyelewengan PH dalam TH.- HARAKAHDAILY 22/6/2020