Belasungkawa: Mengenang Pak Subky yang inspiratif

TERASA duri tajam yang menikam ubun-ubun kepala apabila mengingatkan sosok ini, zaman saya memimpin anak -anak muda di Wilayah Persekutuan era reformasi dalam Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Advertisement

Pak Subky atau kami gelar mesra sebagai Haji Subky adalah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, maka kami akan sentiasa bermesyuarat JK Perhubungan atau mesyuarat Dewan Harian.

Rasa bersalah itu juga mungkin kerana perbezaan pandangan di dalam mesyuarat, namun seingat saya itulah sang pemimpin yang tidak pandai mengangkat suara tinggi, tidak pernah mengherdik bahkan dengan senyuman khasnya.

Suaranya mendatar dan saya anak muda saat itu merasa gelisah dengan ocehannya yang panjang setiap kali bermesyuarat. Anak muda kail panjang sejengkal yang sentiasa gopoh manakala Haji Subky orang lama yang banyak idea dan saranan.

Dalam organisasi PAS Wilayah Persekutuan sesi itu, kami mempunyai seorang Timbalan PJ yang agak berkarisma iaitu almarhum Ustaz Mansor Din.

Ustaz Mansor Din melengkapi kepimpinan PAS Wilayah dengan mengepalai urusan tarbiah, kami bertamrin dan merajut ukhuwwah dalam pelbagai program amal tarbawi.

Haji Subky dengan pandangan politik yang tajam, juga pengalamannya yang panjang melihat perjalanan politik tanahair. Haji Subky dikenali umum sebagai penulis yang hebat melontarkan idea, kritikan, fakta sejarah kerana sebahagian besar umurnya di dalam bidang kewartawanan.

Almarhum Subky pernah menjadi pemberita Utusan Melayu, sebuah akhbar arus perdana bernuansa kebangsaan Melayu dan Warta Negara di Pulau Pinang mulai 1963.

Terdidik secara formal dalam bidang jurnalism seperti pernah menyertai Kursus Diploma Kewartawanan di Internationales Institut für Journalismus, Berlin Barat, Jerman dan pelbagai institusi yang lain (Kursus kewartawanan jangka pendek) dengan tajaan kedutaan Barat.

Pak Subky telah memulakan kerjayanya sebagai seorang wartawan di Utusan Melayu, akhbar yang juga telah melahirkan ramai pemimpin dan mencetuskan gelora kesedaran rakyat.

Antaranya Said Zahari, Pak Samad Ismail, Zainuddin Maidin, Mazlan Nordin dan lain-lain tokoh kepengarangan. Almarhum dihormati kerana latarbelakang pendidikan, termasuk belajar di Gunung Semanggol kerana abang beliau almarhum Ustaz Baharuddin Latif adalah pimpinan PAS.

Sumbangan besar almarhum dalam PAS ialah mengasaskan akhbar Harakah dengan pimpinan-pimpinan PAS yang lain pada tahun 1987.

Tulisan beliau antara menjadikan akhbar parti diminati, mengulas pelbagai isu negara serta keseriusan almarhum mencetak kader-kader baru di dalam dunia penulisan. Beliau bergerak kemerata tempat memberikan latihan penulisan kepada anak-anak muda.

Dalam sejarah penerbitan negara ini, almarhum turut berjasa menjadi pengasas kepada beberapa buah akhbar seperti dwi mingguan ‘Suara Rakyat’ dan ‘Suara Merdeka” iaitu akhbar politik untuk mengimbangi akhbar arus perdana negara ini. Beliau juga menghidup akhbar “Watan” dengan tulisan politik dan akhbar dwi mingguan ini pernah sangat popular di tanahair kita.

Latarbelakang almarhum dalam politik secara berorganisasi juga sangat menarik. Abang beliau, Ustaz Baharuddin Abdul Latif adalah pemimpin pemuda PAS dalam dekad 50an, begitu juga ramai keluarga besar almarhum di Perak adalah pimpinan dan aktivis PAS termasuk Ustaz Ibrahim Hassan.

Sebelum memasuki PAS secara rasmi, Haji Subky pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada mantan Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein iaitu di era PAS didalam kerajaan BN.

Almarhum pernah menjadi calon PAS didalam Pilihanraya Kecil Pelabuhan Klang atas tiket PAS pada tahun 1979 namun tewas kepada calon BN. Semarak kebangkitan Islam yang melanda negara kita turut mewarnai perjalanan politik Haji Subky.

Menjadi pemimpin Dewan Pemuda PAS di tengah semarak kebangkitan Islam menyaksikan usul Muktamar Dewan Pemuda yang berlangsung di Madrasah Masriah Bukit Mertajam akhirnya mengubah rentak dan orientasi perjuangan PAS. Usul kepimpinan ulama itu dibawa ke Muktamar PAS Pusat di Dewan Syed Nasir Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 1982.

Pak Subky menjadi Ahli Jawatankuasa Kuasa PAS Pusat semenjak tahun 1983 sehinggalah tahun 2005, kembali semula ke dalam mesyuarat PAS Pusat apabila dilantik sebagai Pengerusi As Sabiqun PAS. Lajnah beliau berperanan menghimpunan veteran-veteran PAS diseluruh negara.

Dengan sisa-sisa kudrat yang ada, almarhum tetap bergerak kemana sahaja bahkan digelar “kitab sejarah PAS”. Beliau antara penggerak hubungan PAS dengan kaum bukan Islam, antaranya penubuhan Chinese Consultative Council pada tahun 1985 .

Usaha ini berjaya memecahkan tembok kaca PAS dengan non muslim, ini antara langkah awal PAS sebelum wujudnya DHPP.

Kita semua akan merindui Pak Subky dan insan yang menjadi contoh bahawa umur dan masalah kesihatan bukanlah alasan untuk kita malas untuk berjuang.

Setiap kali mesyuarat PAS Pusat, beliau akan aktif memberikan pandangan walaupun kadang pandangan itu tidak popular.

Usai bermesyuarat, kami akan makan beramai-ramai di tingkat lima Pejabat Agung PAS dan biasanya seorang AJK PAS Pusat akan menghantar almarhum pulang ke rumahnya, bersebelahan Kampung Padang Balang Sentul.

Moga kebaktian almarhum akan menjadi pahala yang dituai hasilnya di alam abadi ( 1940-2020). Berehatlah Pejuang dan kami juga akan menyusul.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI- HARAKAHDAILY 23/6/2020