Kerajaan berjaya majukan sosioekonomi Terengganu

PERTUMBUHAN ekonomi Terengganu pada 2018 yang rendah pada kadar 2.5 peratus dengan KDNK bernilai RM34.8 bilion (2017: 5.7 peratus, RM34.0 bilion) adalah susulan pelbagai ketidaktentuan dan disebabkan oleh perubahan teraju kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

Sesuai dengan fokus Kerajaan Negeri Terengganu yang baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu kepada aspek kesejahteraan sosial, isu-isu seperti pengembalian tanah; pemilikan tapak rumah dan rumah kediamaan; pemberian air percuma; penjagaan kesihatan; pengasuhan kanak-kanak; pembangunan institusi pendidikan agama dan pengecualian cukai rumah kediaman telah diberikan keutamaan.

Walaubagaimanapun, mengharungi situasi itu Kerajaan Negeri Terengganu telah berjaya meningkatkan jumlah projek pada 2018 kepada 12 projek susulan pertambahan 5 projek asing; sekaligus meningkatkan jumlah anggaran pelaburan kepada RM4.9 bilion dan melibatkan 2,096 pekerjaan berbanding hanya RM177.8 juta dengan 344 pekerjaan pada 2017.

Advertisement

Selain itu, usaha meraih hasil juga dapat dilihat menerusi pengeluaran pada 2018 kayu balak meningkat kepada 442,424 meter padu (2017: 383,819), getah 23,796 metrik tan (2017: 7,152), padi 74,914 metrik tan (2017: 69,319) dan kenaf 1,731.6 metrik tan (2017: 830.2). Jumlah ternakan kerbau, lembu, kambing dan bebiri juga meningkat kepada 134,401 pada 2018 berbanding 129,399 pada 2017.

Pada tahun 2018 sahaja, sebanyak 9,147 orang pencari kerja berjaya ditempatkan pekerjaan manakala 9,738 orang lagi ditempatkan pada 2019 menjadikan jumlah keseluruhannya bagi tempoh dua tahun ini ialah 18,885 pekerjaan.

Usaha-usaha ini telah menurunkan kadar pengangguran di Terengganu pada 2019 di bawah paras 4.0 peratus iaitu hanya 3.5 peratus sahaja berbanding 4.0 peratus, 4.2 peratus, 4.5 peratus dan 4.8 peratus masing-masing pada 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Bukan sahaja kadar pengangguran berjaya dikurangkan, bahkan jumlah penduduk dengan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi terutamanya sebagai pengurus, profesional serta juruteknik dan profesional bersekutu juga bertambah daripada 100.4 ribu orang pada 2017 kepada 102.1 ribu orang 2018 dan 103.5 ribu orang pada 2019.

Mengenai peluang perniagaan pula, jumlah syarikat dan perniagaan yang beroperasi di Terengganu menunjukkan pertambahan kepada 37,666 pada 2018 berbanding 37,246 pada 2017. Pada 2019 pula, hampir semua sektor menunjukkan pertambahan peratus perubahan bilangan berbanding pada 2018 iaitu sektor perkhidmatan (6.89%), pembinaan (6.37%), pembuatan (18.64%), pertanian (8.62%) serta perlombongan dan pengkuarian (17.51%).

Selari dengan KDNK per kapita pada 2018 yang meningkat kepada RM30,216 (2017: RM29,347; 2016: RM27,268), pendapatan isi rumah bulanan purata juga meningkat kepada RM6,737 pada 2018 berbanding RM6,238 pada 2017 dan RM5,776 pada 2016.

Bilangan jenayah pula menurun kepada 1,532 kes pada 2018 berbanding 1,903 kes pada 2017 dan 2,087 kes pada 2016. Ini sekaligus meletakkan Terengganu sebagai negeri paling selamat dengan indeks jenayah paling rendah di Malaysia tahun 2018.

Kenyataan rasmi pemimpin sebuah parti politik di Terengganu beberapa hari lalu yang hanya bersandar kepada data kadar pertumbuhan KDNK pada 2018 adalah tersangat dangkal dan semata-mata bertujuan untuk memburuk-burukkan Kerajaan Negeri Terengganu pada persepsi awam.

DR. WAN MAT SULAIMAN
Ketua Pegawai Eksekutif,
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).- HARAKAHDAILY 23/6/2020