Kesepaduan PN selamatkan Malaysia daripada PH

KUALA LUMPUR: Tempoh hampir 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah menyaksikan negara mengalami seribu macam masalah setelah pimpinan dan parti-parti kerajaan dilihat hilang fokus untuk membentuk urus tadbir yang baik.

Advertisement

Sebaliknya, berlaku desakan supaya menukar Perdana Menteri di mana mewujudkan tekanan dalaman yang kuat di peringkat PH hingga menyebabkan krisis kepimpinan begitu teruk terjadi selama 2 minggu akibat rakus dan tidak sabar untuk ke jawatan tersebut.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad mengimbas semula detik yang mencatat titik sejarah kepada negara hingga berlaku pertukaran teraju kepimpinan dan perubahan kerajaan pada awal Mac lalu lantaran kemelut politik itu.

Beliau mengupas perkara tersebut dalam Bicara Harakah 3.0 membincangkan tajuk “100 Hari Perikatan Nasional” yang bersiaran langsung atas talian di Facebook HarakahTV bersama Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, sebentar tadi.

“Setiap hari sidang media hanya menyebut Perdana Menteri, bakal Perdana Menteri, bila nak beri Perdana Menteri? Beri date, tukar date, beri date, tukar date. Jadi seolah-olah dalam agenda mereka hanya membincangkan tentang jawatan Perdana Menteri.

“Anggota parti komponen (pula) saman menyaman antara satu sama lain. Kita melihat bagaimana Menteri cakap lain, Timbalan menteri cakap lain. Perdana Menteri cakap lain, Menteri cakap lain. Sehinggakan rakyat merasa sangat tidak tenteram pada masa itu.

“(Sedang) negara mengalami seribu macam masalah. Ekonomi yang merudum, saham yang merudum teruk, aset-aset negara dijual puluhan bilion,” ujarnya mengemukakan kesan buruk dialami negara ketika itu.

Beliau memuji kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong atas tindakan tepat memilih sebuah kerajaan baharu selepas cadangan pertama untuk melantik Tun Dr Mahathir Mohamad yang seterusnya bertukar kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Keputusan tersebut jelasnya, terhasil dari mandat sokongan diperolehi daripada anggota komponen Perikatan Nasional dan seterusnya tertubuhlah kerajaan Perikatan Nasional yang disifatkannya menyelamatkan negara dari pelbagai sudut.

“Pertamanya ialah menyelamatkan negara daripada wabak COVID-19. Bayangkan semasa pemerintahan Kerajaan PH, pelancong-pelancong dari China dibenarkan masuk dan seolah-olahnya bahawa mereka ini membawa rahmat.

“(Kononnya) kepada negara, (mereka itu) membawa wang luar masuk ke negara sebagai pelancong. Bila WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) mencadangkan supaya dilakukan sekatan pergerakan antarabangsa, cadangan ini diperlekehkan oleh kerajaan yang ada.

“Bahkan kita melihat sidang media secara terbuka sambil tersenyum dan ketawa, mereka seolah-olah mempertikaikan cadangan WHO ini. (Tetapi) tindakan Kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kerajaan Perikatan Nasional ini yang akhirnya berjaya mengekang wabak COVID-19.

“Keduanya, ianya menyelamatkan negara daripada krisis politik. Bayangkan semasa Kerajaan PH, negara dihadapkan dengan krisis politik yang sangat dahsyat, sangat dahsyat. Bayangkan sebuah kerajaan yang Perdana Menteri tidak mampu mengawal anggota Kabinetnya.

“Bagaimana kita melihat Menteri dan Timbalan Menteri bertelagah secara terbuka dalam menentukan dasar kementerian. Jadi, pelantikan kerajaan baharu, kita lihat komponen-komponen Perikatan Nasional sehati sejiwa menjayakan agenda menyelamatkan negara,” hujahnya.

Ketiga bentangnya, Kerajaan Perikatan Nasional telah mencadangkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM350 bilion di mana ia mampu dilaksanakan dengan begitu licin dan teratur disebabkan kesepaduan dan kesaksamaan antara parti komponen.

Tegasnya, tiga kejayaan tersebut iaitu keluar dari krisis politik, menangani COVID-19 dan menyelamatkan ekonomi negara terhasil dari hubungan baik dalam komponen Perikatan Nasional menjayakan agenda kerajaan. – HARAKAHDAILY 23/6/2020