Pak Subky selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR:Jenazah kolumnis Harakah, Pak Subky, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Raudatus Sakinah, di sini pada jam 5.35 petang tadi. 

Advertisement

Jenazah Pak Subky atau nama sebenarnya Ahmad Subky Abdul Latif telah dibawa dari kediamannya ke Masjid Bilal Bin Rabah pada jam 2.43 petang dan dimandikan, dikafankan dan disolatkan di situ, pada jam 3.20 petang.

Solat jenazah diimamkan oleh anak Allahyarham, Abdul Latif Rahbar Subky selepas selesai solat asar secara bergilir-gilir mengikuti prosedur operasi standard (SOP)dan penjarakkan sosial seperti yang ditetapkan.

Pak Subky merupakan Pengerusi Assabiqun iaitu persatuan yang menghimpunkan para veteran PAS.

Beliau telah banyak berjasa dalam dunia penulisan, berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan politik.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di samping keluarga pada jam 11.05 pagi tadi, di kediamannya, di sini, akibat kanser darah.

Beliau amat terkenal dengan tulisan politiknya yang bersahaja di ruangan kolum akhbar Harakah ‘Mens Sana In Corpore Sano’ dan mempunyai kolum sendiri dalam Harakahdaily.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Pak Subky adalah Menteri Alam Sekitar, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad serta beberapa lagi pimpinan PAS yang lain.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut menzahirkan rasa kehilangan Pak Subky dalam satu kenyataannya. 

Selain itu mantan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Khalid Ibrahim juga menzahirkan rasa yang sama dalam satu hantaran di akaun Facebooknya dan beberapa lagi pimpinan politik terkemuka.

Dalam arena politik, Allahyarham pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 1983 hingga 2005 dan memegang jawatan Ketua Penerangan PAS Pusat bermula tahun 1988.

Allahyarham pernah juga menjawat jawatan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan (2007)dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Malah pernah menjadi calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Pelabuhan Kelang 1979 menentang calon MIC, DAP dan Bebas. 

Pilihan raya tersebut diadakan berikutan kematian Tan Sri V. Manikavasagam. Walau bagaimanapun, Allahyarham tewas. 

Sebaik sahaja kalah, Allahyarham telah menulis buku Anak Jawa Pelabuhan Kelang, Analisa Awal Pilihanraya Kecil.

Selain itu, Allahyarham turut bertanding dalam siri pilihan raya umum Malaysia bagi tahun 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.- HARAKAHDAILY 23/6/2020