‘Pemikiran rimba apakah ini?’ – Dr Ridhuan Tee

KUALA LUMPUR: Tempelakan pihak tertentu terhadap suara ilmuwan yang mengajak dukungan kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dijawab Ahli Akademik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Advertisement

Beliau membidas pihak tersebut kerana menyifatkan para ilmuwan berkenaan dikatakan tidak neutral dan dituduh tiada integriti, tetapi ilmuwan yang pro-pemerintahan PH dikatakan neutral dan sebenar-benar ilmuwan.

“Pemikiran rimba apakah ini? Peliknya bercakap semua ini adalah mereka agak terpelajar? Salahkah kami sebagai akademia, menyuara pendapat dan menzahirkan kebimbangan kami dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi?

“Adakah tugas para akademia ini, tunggu dan lihat, mencari peluang? Bila dapat kesempatan ‘ngap’. Berapa banyak persatuan akademia ada di setiap universiti, adakah tugasnya sekadar menjaga kebajikan akademia? Kebajikan akademia tidak juga terbela.

“Bila ada akademia dikenakan tindakan, persatuan akademia inilah yang menjauhkan diri, play safe. Inikah ini bentuk ilmuwan yang neutral? Sampai bila? Adakah neutral bermaksud, kami tidak perlu bercakap atau bila bercakap pun maka kenyataan perlu duduk di tengah-tengah.

“Jika analogi air digunakan, maka panas tidak, sejuk pun tidak, suam-suam kuku. Apakah ini maksud neutral?” soalnya yang juga Pensyarah Institusi Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurut beliau, bila ilmuwan banyak bercakap pasal Islam, sokong undang-undang Islam dalam negara Islam maka dikatakan ekstrem atau Taliban serta tidak akademik, tetapi jika menyokong gerakan Liberal, LGBT atau menentang Islam itu sendiri, dikatakan bagus.

Katanya, sama juga bila ada ilmuwan menyokong Zakir Naik, maka dilabelkan sebagai pelampau, namun, bila ilmuwan menyokong LTTE, maka itu dikatakan hak, sedangkan ramai orang Islam mati dalam tahanan, tidak banyak yang bising.

Sebaliknya terjah beliau terhadap ketidakadilan itu apabila ultra kiasu mati dalam tahanan, dihebohkan satu dunia, mempertikaikan integriti polis, walhal yang mati itu mungkin perompak besar.

“Bila Melayu bercakap pasal hak istimewa itu dikatakan tidak adil, rasis. Namun, bila ultra kiasu bercakap hak, mereka berhak kerana itu hak.

“Kamu sengaja menutup mata, apa yang dimaksudkan dengan equity dan equality? Dalam kata lain, memberikan hak kepada yang hak, bermaksud adil dan konsep sesaksamaan.

“Sedangkan bila Melayu bercakap pasal hak, itu memberikan hak kepada kepada yang berhak. Bila bukan bercakap tentang hak, itu bergantung kepada budi bicara hak.

“Ultra kiasu ini sengaja memekakkan telinga, seolah-olah mereka tidak faham maksud neutral atau adil itu apa, memberikan hak kepada yang berhak,” ujarnya.

Tambahnya lagi, apabila PH melantik orang mereka menerajui GLC meskipun bercanggah dengan manifesto, maka dikatakan tidak salah, tetapi bila PN ikut sama berbuat sedemikian, maka salah belaka.

“Saya tidak kata tindakan ini betul. (Tetapi) Kenapa kamu boleh buat, orang lain tidak boleh? Pendek kata, apa juga perkara, bila membabitkan orang Islam (Melayu dan Bumiputera), kita diminta jangan mengeluarkan kenyataan, kunci mulut.

“Contoh isu Allahyarham Adib, anggota bomba yang terkorban, akibat rusuhan kuil yang tidak sepatutnya berlaku, kerana keadilan kepada pihak kuil diberikan. Sehingga kini, pembelaan terhadap Adib, sengaja didiamkan oleh oleh ultra kiasu

“Pembunuh Adib masih bebas. Keluarga Allahyarham masih belum mendapat pembelaan sepenuhnya. Satu kuil dirobohkan heboh satu dunia, sedangkan kuil tersebut sudah digantikan dan diberikan tempat baharu, tak mahu pindah, cetuskan kekacauan.

“Kami diminta diam. Kena jaga maqam academia dan keprofesorannya. Bila ada masjid surau dirobohkan, bagaimana pula? Akademia kena jaga ilmunya,” tegas beliau.

Menurut Dr Ridhuan, jika begitu baharu ilmuwan dianggap neutral dan tidak perlu berkata apa-apa di mana itulah tugas tugas akademia, beliau cukup bimbang api neraka semakin mendekati orang yang otak benarnya penuh dengan ilmu.

“Adakah para akademia perlu duduk di tengah-tengah, jujur pada ilmu, jangan kenyataan? Tengok sahaja apa yang berlaku. Bayangkan jika kami 115 ilmuwan ini mengeluarkan kenyataan pro-PH. Saya tidak fikir Rama dan Sami, Siti dan Kasim akan bising.

“Malahan, kami akan dipuji. Kasihan saya dengan mereka ini. Saya kategorikan mereka ini ‘orang sakit’ yang perlu dirawat. Pada saya, memang wajar kami 115 profesor dan pensyarah kanan mengambil tindakan sebegini.

“Kami merasa sangat malu dengan dunia, negara semakin kucar-kacir dengan kemelut berebut mahu menjadi Perdana Menteri. Sedangkan Perdana Menteri sudah sedia ada. Dilantik mengikut prosedur yang betul, secara sah.

“(Mereka) yang berebut itulah menjadi bahan ketawa dunia. Pada hemat saya, akademia tidak sepatutnya neutral. Tugas sebenar akademi atau ilmuwan yang sebenar adalah ‘berkata benar, walaupun pahit’.

“Ini bukan sahaja tugas akademia, tetapi semua, tanggungjawab semua. Termasuk para ulama, mufti dan sebagainya. Persoalannya, kenapa ramai yang membisu?” soalnya lagi.

Beliau mengajak memerhatikan mereka yang mengetuai institusi agama dari lantikan PH sebelum ini dan masih belum dibuang, melibatkan institusi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti YADIM, TV Hijrah, wakaf, zakat, diam membisu, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Katanya, lantikan semua orang besar ini semua dibuat ketika PH memerintah dan berkuasa di mana mereka ini aktif mengeluarkan kenyataan, tetapi hari ini, bila kerajaan bertukar, mereka senyap diam kerana hendak jaga jawatan.

Beliau mengingatkan bahawa orang-orang sebegini tidak boleh dipercayai kerana menyimpan mereka ini seperti duri dalam daging, kecuali mereka yang benar-benar profesional dan buat kerja. – HARAKAHDAILY 23/6/2020