Takziah keluarga Almarhum Pak Subky – KAWAT

KELAB Wartawan Media Terengganu (KAWAT) merakamkan ucapan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Almarhum Tuan Haji Ahmad Subki Abdul Latif atau lebih mesra dengan panggilan ‘Pak Subky’.

Advertisement

Pemergian Almarhum itu merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan khususnya di negara ini. Beliau pernah terlibat dengan dunia kewartawanan dan surat khabar ketika bersama Utusan Malaysia pada tahun 60-an, akhbar Warta Negara, Suara Rakyat, Suara Merdeka, Watan dan Harakah.

Allahyarham Pak Subky pernah menyertai Kursus Diploma Kewartawanan di Internationales Institut für Journalismus, Berlin Barat, Jerman pada tahun 1963 dan hingga kini, masih terus aktif penulis bersama akhbar Harakah dan portal Harakahdaily, sebelum meninggal dunia.

Ketika beliau berada di Utusan Melayu, Almarhum tempat ketiga dalam hierarki pimpinan Utusan Melayu iaitu Mazlan Nordin (Tan Sri), Osman Abadi dan beliau di tempat ketiga.

Dalam kalangan wartawan kanan yang telah lama bertugas di Utusan waktu itu, termasuk Zainudin Maidin (kini Tan Sri), Ali Salim (Jiro) dan lain-lain. Almarhum juga pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada mantan Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Allahyarham Pak Subky dilahirkan pada tanggal 28 Julai 1940 merupakan anak kelahiran Sungai Parit Panjang Laut, Setiawan, Perak dan meninggalkan seorang balunya, Puan Hajah Nahnah Taha serta lima orang anak dan 18 cucu.

Beliau disahkan meninggal dunia akibat sakit myelodyplastic syndrome (MDS) atau pre-leukimia sekitar jam 11.05 pagi ini, 23 Jun 2020 bersamaan 1 Zulkaedah 1441 Hijrah, di rumahnya di Padang Balang, Gombak pada usianya 80 tahun.

Jenazah disolat di Masjid Bilal bin Rabah di Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatus Sakinah, selepas solat asar, hari ini.

Justeru, Kelab Wartawan Media Terengganu turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Almarhum pada hari ini. Semoga roh beliau ditempatkan bersama dalam kalangan orang yang soleh dan mulia di sisi Allah SWT. Al-Fatihah.

Sekian.

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT)- HARAKAHDAILY 23/6/2020