Tindakan Muhyiddin luar tradisi, jelas dan berani

KUALA LUMPUR: Pakej rangsangan dan penjanaan ekonomi berjumlah hampir RM300 bilion oleh Kerajaan Perikatan Nasional merupakan tindakan luar biasa, jelas dan berani kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, demikian menurut Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan.

“Dasar-dasar yang tak pernah kita buat. Contoh moratorium, pinjaman, siapa sangka kita boleh sebenarnya rupanya pinjam untuk beli kereta, pinjam untuk beli rumah, tapi tak bayar-bayar balik untuk enam bulan. Tak pernah kita bayangkan.

“Dan saya rasa sebelum ini tak pernah ada. Dan selepas ini pun tak akan adalah insya-Allah kita minta tak akan ada sebab untuk diadakan sekali lagi. Tetapi itu satu langkah yang berani, yang di luar kotak, yang tak menggunakan tradisi ataupun konvensional.

Advertisement

“Kerana senarionya pun luar biasa, apa lagi yang kita nampak yang luar kotak,” ujarnya pada Bicara Harakah 3.0 membincangkan tajuk “100 Hari Perikatan Nasional” yang bersiaran langsung atas talian di Facebook HarakahTV, sebentar tadi.

Beliau juga menyatakan kekaguman apabila kerajaan dalam usaha menangani kesan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu telah memperkenalkan Subsidi Upah yang disifatkannya memberi kesan positif sangat besar.

Katanya, tidak boleh dibayangkan bahawa kerajaan boleh memberi wang kepada syarikat swasta untuk membayar gaji pekerja-pekerjanya supaya tidak membuang atau mengurangkan pekerja serta menjaga kadar pengangguran agar tidak terlalu tinggi.

Kupasnya lagi, PRIHATIN sebagai awal usaha menangani COVID-19 untuk jangka pendek mungkin dilihat tergesa-gesa, namun ia memenuhi keperluan golongan B40 dan M40, penjawat awam serta sedikit untuk syarikat-syarikat.

Namun, kemudian ketidakselesaan pihak Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) ditambah, sekali gus mengisi kelompongan yang wujud dan juga menunjukkan kerajaan responsif terhadap keadaan dihadapi pihak syarikat.

Tetapi apabila kerajaan mengumumkan PENJANA ujarnya, walaupun lebih kecil dari PRIHATIN, tetapi disifatkannya sangat bersasar kerana menyuntik keperluan kepada sektor yang memerlukannya.

“Contoh ada tak silap saya beberapa ratus juta yang diperuntukkan untuk industri pemakanan dan industri pertanian. Kerana dilihat sekarang ini soal kedaulatan makanan, ataupun keselamatan makanan. Food security menjadi satu perkara yang cukup penting.

“Sebab kita lihat apabila pandemik ini berlaku, perdagangan makanan dan rantaian global tersebut terkesan, dan menyebabkan banyak negara mula fikir, macam mana kita nak pastikan food security kita ini.

“Jadi, itu dah satu tindakan yang bersasar. Mana lagi tindakan bersasar kita nampak dalam PENJANA ini, banyak yang diperuntukkan untuk ditambah lagi untuk PKS, dengan Micro kreditnya, dengan Skim Gerak Prihatinnya.

“Semuanya ditambah ataupun dilaksanakan dengan lebih bersasar dan lebih fokus kepada apa sebenarnya yang kita nak selesaikan,” ujarnya memuji.

Pun begitu beliau mengingatkan kerajaan untuk berwaspada terhadap perkara yang menjadi ‘blind spot’ hingga menimbulkan salah faham sebagaimana kes bil elektrik TNB di mana telahpun diselesaikan. – HARAKAHDAILY 23/6/2020