Hak waris Adib teruskan komital terhadap Tommy

KUALA LUMPUR: Keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim masih boleh teruskan komital (menghina mahkamah) terhadap bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Advertisement

Menurut Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM), Wan Rohimi Wan Daud, walaupun Tommy Thomas bukan lagi Peguam Negara, komital keluarga Muhammad Adib masih boleh diteruskan.

Jelasnya, menurut undang-undang, ia merupakah satu kesalahan yang bersifat separuh jenayah dan tidak luput, bahkan tidak gugur walaupun Tommy sudah tidak lagi menjadi Peguam Negara.

“Komital boleh diteruskan, tiada masalah, walaupun beliau sudah meletak jawatan, komital tetap berlaku sebab benda itu, separuh jenayah.

“Tidak dilupuskan walaupun beliau sudah tidak lagi menjadi Peguam Negara, tinggal mahkamah yang membuat keputusan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi HarakahDaily untuk mengulas berhubung kes melibatkan Allahyarham Muhammad Adib.

16 Julai 2019, bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Tommy Thomas yang ketika itu merupakan Peguam Negara.

Tommy dituduh telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April 2019.

27 Ogos 2019, Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan membenarkan prosiding komital itu didengar sebelum Tommy Thomas memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

25 November 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan permohonan rayuan Tommy untuk membatalkan prosiding komital terhadap dirinya yang difailkan Mohd Kassim.

10 Oktober 2019, Tommy kemudiannya menyerahkan afidavit balasan dalam permohonannya untuk menggantung prosiding perbicaraan komital yang difailkan Mohd Kassim.- HARAKAHDAILY 24/6/2020