PAS Lumut-Sik berkongsi kejayaan ekonomi

LUMUT: PAS Kawasan Sik telah mengadakan pertemuan membincangkan projek ekonomi sebagaimana model dijayakan PAS Kawasan Lumut iaitu Taqwa Green Mart sempena kunjungan balas, kelmarin dahulu.

Advertisement

Rombongan dipimpin Ketua Penerangan PAS Sik, Ustaz Mohamad Subky Sulaiman bersama Ahli Jawatankuasa PAS Sik yang disambut Yang DiPertua dan Naib Yang DiPertua PAS Lumut, Rosli Abd Rahman dan Mohamad Che Ghani.

Turut bersama pada pertemuan ini adalah Setiausaha dan Bendahari serta Penolong Setiausaha PAS Lumut, Hamidun Ahmad dan Zulkifli Ahmad Yusuf serta Alwi Abu Bakar.

Kunjungan balas ini adalah rentetan jemputan khas Ahli Parlimen PAS Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman kepada PAS Lumut pada 2 Jun lalu di Kompleks PAS Sik, Sungai Pau, Sik.

Ianya setelah Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Lumut, Ahmad Kamarulnizam Majid membentangkan model tersebut, manakala kunjungan kali ini diadakan di Pejabat PAS Lumut, Seri Manjung, di sini.

PAS Lumut telah memperkenalkan konsep ‘tangan kiri dan tangan kanan’ iaitu kitaran kewangan berlegar di sekitar ahli PAS terutamanya dan masyarakat setempat bagi menjana ekonomi PAS Lumut.

“Setakat hari ini kita berjaya melaksanakannya dan turut menyatakan keyakinan PAS Sik mampu pergi lebih jauh dalam bidang ekonomi, ujar Rosli dalam pertemuan santai itu.

Menurut Rosli lagi, kunjungan balas ini juga dapat memperkukuhkan lagi keakraban hubungan antara PAS Lumut-Sik dan paling penting menjana kekuatan ekonomi bagi PAS.

Subky dalam ucapannya pula menyatakan faktor utama terbinanya kedai runcit ini adalah lahir dari kekuatan ukhuwah yang kuat di kalangan ahli PAS Lumut.

Beliau turut menekankan bahawa bagi sebuah jemaah Islam, kekuatan ekonomi adalah sangat penting setelah melihat kepada keperluan cukup luas ketika negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya.

Dalam majlis itu juga, Ketua Penerangan PAS Lumut, Awis Kharni Hussain turut berkesempatan berkongsi tentang kepentingan pengurusan kewangan.

Beliau telah membuat dua analogi iaitu pemasaran seperti penyerang dalam permainan bola sepak bagi menarik pelanggan membeli di kedai.

Manakala kewangan pula seperti penjaga gol bagi menjaga pertahanan supaya kedai dapat terus ‘survive’ bermula dengan peringkat pertama dan kedua ketika memulakan operasi.

Di akhir sesi pertemuan, rombongan PAS Sik telah dibawa melihat secara dekat Taqwa Green Mart beroperasi. – HARAKAHDAILY 24/6/2020