Pelajar lepasan Timur Tengah dipelawa ke UniSHAMS

LANGKAWI: Para pelajar lepasan luar negara terutama dari Timur Tengah yang pulang ke Malaysia akibat pandemik Covid-19, dipelawa menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).

Demikian diumumkan oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, sewaktu sidang media selepas mesyuarat exco kali ke lima di Pejabat Daerah, Langkawi, di sini, tengahari tadi.

Advertisement

Menurut beliau, UniSHAMS masih lagi membuka permohonan dan pendaftaran kemasukan bagi sesi Jun 2020 yang telah dilanjutkan sehingga 11 Julai 2020 dan kepada yang berminat untuk
peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda disarankan agar segera membuat permohonan.

“UniSHAMS ini yang dahulunya Kolej Universiti Insaniah adalah pusat pengajian tinggi milikan kerajaan negeri Kedah. Jadi kita membuka peluang kepada para pelajar luar negara terutama dari Timur Tengah untuk menyambung pengajian di sini,” ujar beliau.

Antara lain yang menarik di UniSHAMS ini, kata Sanusi, para pelajar boleh alami pengajian ala Timur Tengah yang menawarkan medium pengajian dan pembelajaran di dalam Bahasa Arab dengan interaksi bersama lebih 38 orang tenaga pengajar antarabangsa dari negara Arab seperti Mesir, Yaman, Maghribi, Sudan dan lain-lain lagi.

Sementara universiti itu menawarkan empat (4) program peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam iaitu Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Dengan Kepujian dan Ijzajah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz Wal Wiraat Dengan Kepujian.

Permohonan boleh menggunakan keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bersama keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedia ada.

Kepada yang berminat dimint segera memohon di www.unishams.edu.my atau menghubungi Unit Kemasukan dan Rekod, Pusat Pengurusan Akademik UniSHAMS di talian 04-415 5051.- HARAKAHDAILY 24/6/2020