Pidato lidahnya kurang, tapi tintanya petah berhujah

SAYA tidak mengenali beliau secara dekat. Hanya tulisannya yang menjelma, menampakkan bayang keberadaannya sehingga saya terinspirasi benar dengan karyanya. Ia menarik hati ini. Bait-bait nukilannya membuatkan saya merasa dekat dengan dirinya. Tidak lekang rasa ingin berjumpa untuk berdamping dengannya. Ya jika kita meminati sesuatu perkara, pasti yang menjadi maharaja dalam bidang itu, sentiasa didambakan untuk bertemu.

Banyak yang saya belajar berkaitan tulisan beliau secara sendiri. Tidak tahu pula apakah benar apa yang saya fahami itu, itulah yang beliau maksudkan. Tetapi ianya bukanlah sesuatu yang terlalu mendalam. Agak mudah bagi saya, kerana jalur yang beliau ceburi ialah jalur politik, jalur kegemaran saya. Paling berharga yang dimiliki beliau dalam bidang ini ialah pengalaman beliau dengan sejarah politik tanah air.

Beliau berada dekat dengan watak-watak penting sejarah tanah air sewaktu ia berlaku. Ia sesuatu yang tiada dapat ditukar ganti. Saya amat gembira apabila beliau menulis kenangan silam beliau dalam arena politik. Saya terawang-awang, seperti ada bersama mengikuti beliau menyusuri setiap sejarah yang beliau nukilkan. Puas hati ini bila membaca sejarah yang beliau catatkan.

Antara ruangan yang saya gemari ialah ‘Terkenang semasa dulu’ dalam akhbar Siasah sekitar tahun 2000. Beliau menceritakan khusus berkenaan peristiwa politik yang berlaku, sosok-sosok penting yang terlibat. Ia berbeza dengan komentar beliau yang berkaitan isu politik terbaharu. Ramai yang boleh memberikan pandangan masing-masing. Ada yang tepat dan ada yang salah. Tiada terkecuali juga beliau.

Advertisement

Tetapi apabila mengemukakan perihal yang pernah dialami beliau, tiada siapa yang boleh menjuarainya mengatasi beliau. Pengalaman duduk bersama sejarah negara. Arrh, sesuatu yang sungguh mengujakan. Dapat pula menceritakan kepada pewaris-pewaris bangsa ini sebagai ingatan yang mana tauladan, yang mana sempadan. Mungkin boleh saya katakan bermula dengan umurnya 10 tahun agaknya? Bermakna sudah 70 tahun beliau mengumpul mutiara sejarah politik negara.

Benar, beliau tidak petah berpidato. Kurang selera kebanyakan orang mendengarnya. Beliau bercakap perlahan-lahan, agak merayau jauh sebelum masuk kepada isi kandungannya. Berbeza dengan pemidato-pemidato hebat di dalam PAS. Suara mereka sahaja sudah menaikkan bulu roma pendengar. Begitulah dikatakan asbab kekalahan beliau di Kubang pasu 1999 menentang Tun Mahathir. Kurang petah.

Namun, Allah Maha Adil. Kehebatan beliau dalam menulis seperti sahaja beliau berpidato, bezanya beliau menggunakan pena di atas kajang kertas. Cukup mudah difahami, lenggok bahasa bersahaja, terasa bagai berbual dengannya. Menusuk ke dalam jiwa, menguraikan kekusutan. Mengikat dalam hati, jatuh cinta saya kepada tulisannya. Tidak kurang lenggok beliau itu cuba saya tiru, tetapi gagal. Manakan sama bakat si peniru dengan yang asli. Nama dan gaya luaran mungkin, tapi tidak sesekali dengan keasliannya yang hebat itu.

Beberapa kali peluang untuk berjumpa dengan beliau ketika beliau ada di Terengganu, terlepas kerana saya tiada di Malaysia waktu itu. Hanya kini, tulisannya yang tidak akan padam ditelan zaman insya-Allah, menjadi ganti dirinya. Khazanah ilmu beliau hanya saya dapat melalui tulisannya. Semoga ada kebaikan atas tumpangan ilmu yang beliau berikan. Semoga Allah mengampuni dan merahmati Allahyarham Subky Latif atas perjuangan beliau bersama jamaah Islam.

Saya pastinya ramai sekarang insan yang dekat dengan beliau, berebut-rebut menulis memori indah bersama beliau. Dan saya, bukanlah orang yang kena untuk menulis berkenaan diri beliau. Tidak, bukan itu maksud nukilan saya ini. Saya cuma melihatnya dari kejauhan. Beliau tidak tahupun akan kewujudan saya. Saya hanya mampu menggambarkan betapa saya amat berterima kasih atas ilmu yang beliau curahkan yang dapat saya belajar.

MOHD NASIR ABDULLAH
24 Jun 2020 – HARAKAHDAILY 24/6/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.