PRK Chini model kerjasama tiga parti PN

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah

KOTA BHARU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini diharap menjadi model terbaik kerjasama tiga parti yang mentadbir negara sekarang di bawah Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, agak ketara hubungan antara PAS dan Umno yang sudah lama terjalin melalui Muafakat Nasional.

Advertisement

Lagi pun katanya kedua-dua parti lebih menonjol kerana PAS dan Umno masing-masing ada kekuatan di DUN Chini.

“Kita nampak kerjasama dan hubungan antara PAS dan Umno begitu erat. Petugas keselamatan antara anggota Jabatan Amal dan Skuad Sabil nampak akrab,” katanya di sini hari ini.

PRK itu juga mencatat sejarah apabila borang pencalonan Mohd Shahrim Md Zain yang mewakili BN disokong Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim.

PRK tersebut menyaksikan pertembungan tiga penjuru biarpun Pakatan Harapan (PH) tidak meletak calon.

Mohd Shahrim ditentang dua calon bebas iaitu bekas Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pekan, Dato’ Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Dato’ Seri Abu Bakar Harun pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Tarikh pengundian akan berlangsung pada 4 Julai ini.- HARAKAHDAILY 24/6/2020