PSR mesti dibatalkan segera!

PROJEK Penang South Reclamation (PSR) yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melibatkan tambakan laut di bahagian Selatan Pulau Pinang belum dibatalkan lagi oleh Kerajaan Pusat. Namun, projek ini telah menerima bantahan daripada pelbagai golongan kerana projek tersebut akan mengganggu ekosistem laut dan alam sekitar serta penempatan setempat sekali gus menjejaskan punca pendapatan para nelayan dan bekalan makanan di Malaysia.

DPPK Balik Pulau menyokong memorandum bantahan yang telah dikemukakan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang dan menggesa Kerajaan Persekutuan supaya tidak memberi serta meneruskan kelulusan yang berkaitan dengan PSR kerana ianya bertujuan untuk menampung projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). PTMP bukan sahaja menelan kos besar iaitu RM46 bilion, tetapi juga akan memberikan kesan buruk yang ketara ke atas sosio ekonomi dan geografi di Pulau Pinang. Jika projek ini terlaksana kelak dan dengan dana kewangan besar akan diperolehi nanti oleh kerajaan negeri, sudah tentu kerajaan negeri akan melakukan projek-projek mega lagi yang bakal merosakkan alam sekitar hanya demi mengaut keuntungan yang berlipat ganda dan menzalimi masyarakat nelayan dan kampung.

Advertisement

Antara impak yang bakal dialami kelak jika projek ini diteruskan ialah akan membawa kemusnahan kekal ke atas ekosistem daratan lumpur, kawasan perikanan, pendaratan penyu dan terumbu karang di Pulau Rimau. Selain itu, projek ini akan merosakkan rantaian makanan untuk burung-burung hijrah mencari makanan berhampiran Kuala Gula, Perak apabila berlaku aktiviti pengorekan pasir. Masalah banjir kilat dan tanah runtuh di Pulau Pinang sudah tentu akan lebih teruk lagi.

Oleh itu DPPK Balik Pulau menyokong penuh usaha-usaha untuk membatalkan projek ini dan menggesa sekeras-kerasnya kepada Kerajaan Pusat untuk menilai semula pelaksanaan projek pembangunan ini dengan kadar segera kerana ianya sangat tidak mesra alam sekitar. Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang merupakan pencetus kepada projek ini tidak patut mengorbankan alam sekitar demi mengaut keuntungan tetapi kerajaan seharusnya menghormati alam sekitar sebagai nikmat dan kurniaan yang paling berharga untuk kita di atas muka bumi ini. Sekiranya penambakan ini berjaya dibatalkan, ianya suatu kemenangan untuk seluruh rakyat Pulau Pinang.

AHMAD HUZAIMI SAAD
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Balik Pulau – HARAKAHDAILY 24/6/2020