Tinta yang akan dirindui 

LAMA sebelum adanya jalur lebar dan dunia tanpa sempadan. Terdapat anak-anak kepada abnaul harakah bertatih membaca menggunakan akhbar lidah rasmi PAS. Sebelum diperkenalkan kisah Cinderella dan Red Riding Hood lagi. Berbunga hati bonda dan ayahanda bila anak mampu mengeja perenggan demi perenggan rencana akhbar Harakah. 

Entah mengapa, kolum min aina ila aina sering menjadi pilihan. Mungkin menggantikan ruangan lelucon di dada akhbar pemerintah atau mungkin juga kerana kolumnya yang pendek. 

Biarpun begitu, bukan mudah untuk memahami garapan minda Pak Subky. Ada sinis, ada geli hati, ada fakta, ada juga bahasa sastera yang menguji ketajaman akal. Isu politik yang mengelirukan, tersasar dari logik minda lurus bendul keanakkan, diolah bersahaja oleh Pak Subky. Ada waktunya terasa faham, namun tak kurang menambahkan lagi kebingungan dek ceteknya ilmu yang ada dalam diri. Tetapi, acap kali Pak Subky berjaya menjentik rasa ingin tahu, apa sebenarnya isi dunia di luar sana. 

Advertisement

Penulisan Pak Subky ternyata lahir dari pena gudang pengalaman. Ada kritikan, ada cetusan idea dari kaca mata berbeza, ada mainan rasa… begitu istimewa tinta Pak Subky di hati saya. 

Banyak ilmu dikongsi Pak Subky. Ilmu yang turut membantu menyuluh lorong hidup, membentuk jati diri. Pasti, perjuangan yang panjang menuntut pemerhatian yang tajam. Kalah tidak bererti perlu mengalah, tunduk pasrah. Lantas, singkaplah dunia dari sudut yang pelbagai, jangan sekadar ikutan cakap-cakap orang. Kerana itu, usah bimbang untuk berbeza pendapat, namun pastikan patuh kepada wehdatul fikr. 

Selamat berehat wahai murabbi yang dihormati. Penamu ternyata mendidik kami, mengundang rindu. Bergembiralah dengan janji Allah di atas jasamu, amalan yang berlari. 

Telah jelas jalan pulang Pak Subky. Semoga kita juga dijemput  Allah di atas jalan perjuangan ini. 

اللهم اغفر له وارحمه، وعافه واعف عنه

HANI’AH ABDULLAH  
Alderley Park – HARAKAHDAILY 24/6/2020