Bermuafakat demi masa depan anak cucu kita

TANGGAL 9 Jun lalu genaplah 100 hari usia Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kerajaan ini dibentuk setelah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan sejak menang Pilihan Raya Umum ke-14 tahun 2018 lalu roboh apabila Tun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai PM ke-7.

Ternyata PN walaupun baru 100 hari memerintah tetapi kepimpinan dan pemerintahannya cukup disenangi rakyat dan ini lebih-lebih lagi terbukti dalam kejayaannya menguruskan dengan baik pandemik COVID-19 serta kesannya terhadap negara dan rakyat.

Walaupun rakyat jelata rata-rata cukup selesa dan menyanjungi kerajaan ini namun pihak PH yang kehilangan kuasa terus-menerus meniupkan api kebencian sejak hari pertama Kerajaan PN ini hinggalah ke hari ini.

Kesan kehilangan kuasa, kedudukan dan pangkat terbukti satu kekesalan besar buat mereka sehingga tidak henti-henti mereka merancang untuk menjatuhkan PN walaupun mereka sendiri sebenarnya tidak memiliki sokongan yang mencukupi apatah lagi berpecah pula sesama sendiri.

Advertisement

Mereka sugul dengan kegagalan mempertahankan Putrajaya lalu hilang fokus sehingga negeri-negeri di bawah penguasaan mereka sendiri contohnya Johor, Melaka, Perak dan Kedah satu persatu jatuh ke tangan PN.

Walaupun ada usaha kononnya untuk memancing beberapa Ahli Parlimen yang pro PN untuk membantu mereka menjatuhkan kerajaan yang ada, namun demikian sehingga melewati 100 hari Kerajaan PN semua pelan dan rancangan mereka itu hanyalah angan-angan kosong belaka kerana hingga hari ini tiada bukti yang mereka cukup bilangan untuk menggugat Kerajaan PN.

Dahlah mereka gagal merampas kembali kuasa, sesama mereka pula berbalah secara terbuka hari ini sehingga semakin bosan dan hilang apa sahaja saki-baki keyakinan rakyat terhadap mereka.

Mereka terus berbalah berkenaan calon bakal Perdana Menteri (PM) mereka, berbalah antara Tun ataupun Anwar Ibrahim sehingga akhirnya pimpinan dan ahli mereka sendiri satu demi satu keluar meninggalkan parti. Ini petanda yang buruk buat PH.

Segala perkembangan ini menunjukkan PH semakin hilang pengaruhnya dan tidak mustahil dengan krisis sesama sendiri yang semakin kronik, lebih ramai dijangka akan hilang keyakinan dan meninggalkan parti mengakibatkan PN akan menjadi semakin kukuh dan hampir mustahil dicabar apalagi ditewaskan dalam PRU ke-15 nanti.

Kunci kegagalan dan kelemahan pengaruh PH banyak terletak kepada kejayaan parti-parti politik Melayu khususnya, kejayaan mereka bermuafakat dan bersatu, insaf menyatukan kekuatan politik orang-orang Melayu sehingga kembali menguasai arus perdana dan menjadi teraju negara sesungguhnya menggugat dan menghancurkan PH yang didalangi DAP.

Langkah berani yang awal-awal diusahakan PAS dan Umno sehingga termeterainya Muafakat Nasional (MN) pada bulan September 2019, telah membuka langkah kepada kejayaan PN hari ini. Apabila orang-orang Melayu yang membentuk majoriti penduduk dalam negara sanggup mengenepikan perbezaan mereka demi mendaulatkan agama, bangsa dan tanah air, ketika itu tiada mana anasir lain dapat mengganggu-gugat mereka.

Pembentukan Kerajaan PN dengan penglibatan PAS dan Umno serta parti-parti sekutunya menandakan parti BERSATU dan parti-parti lain turut memperakui kepentingan kuasa politik Melayu itu disatukan.

Memang sukar PAS, Umno dan BERSATU mahu disatukan di bawah satu bumbung, tetapi apabila keadaan memaksa, kedaulatan umat Melayu Islam pula tergugat, yang mustahil dan sukar itu boleh sahaja diusahakan dengan syarat semua pihak ikhlas dan berlapang dada serta mengenepikan agenda peribadi demi kepentingan ummah.

Berdasarkan perkembangan terkini ramai lagi Ahli-ahli Parlimen dan ADUN PH khususnya dari PKR dijangka meninggalkan parti masing-masing. Mereka sedar bahawa PH sebagai sebuah gabungan politik sudah gagal apatah lagi apabila pimpinan tertinggi sudah tidak lagi sehaluan dan berpecah sesama sendiri.

Setakat ini mengikut rekod masih ada lagi saki-baki wakil-wakil rakyat Melayu Islam khususnya dalam PH selain Tun, Anwar, Shafiee Apdal dan Mat Sabu. Mereka ini perlu berfikir panjang secara jujur dan jangan terperangkap dengan agenda peribadi pimpinan mereka yang sebenarnya bukan sahaja merugikan parti dan perjuangan tetapi lebih-lebih lagi rakyat dan masa depan negara.

Banyak yang boleh dan mampu kita lakukan apabila kekuatan politik kita disatukan dan perpecahan kita elakkan. Tugas dan tanggungjawab membela rakyat selain membangunkan negara dapat kita laksanakan dengan baik dan sempurna apabila kita semua dapat duduk bermuafakat dengan baik dan tertib.

Yang tinggal dalam PH hari ini hanyalah agenda perebutan kuasa antara Tun dan Anwar sedangkan kuasa pun sudah tiada lagi dalam tangan mereka. Tinggalkanlah perjuangan yang sia-sia itu. Seratus hari telah berlalu dalam pemerintahan Kerajaan PN, sepatutnya kita bersama menyusun langkah memajukan rakyat dan negara bersama.

Dalam sejarah orang-orang Melayu tidak pernah mampu menyatukan kuasa politik mereka lantaran banyak perbezaan sesama mereka zaman-berzaman. Jika kita sedar bahawa kita mampu menjadi kukuh apabila berjaya bermuafakat dan sebaliknya pasti roboh jika bercerai-berai, maka kita semua perlu mengambil langkah yang positif dan berani.

Hari ini PN adalah manifestasi kejayaan parti-parti politik Melayu yang bersatu dengan didukung rakan-rakan bukan-Melayu yang lain, apa kata kita bantu memperteguhkannya lagi. Ini bukan masanya untuk serang-menyerang dan mengadu-domba sesama kita, ini bukan masanya untuk menjulang perjuangan sia-sia kerana mengangkat agenda peribadi sesiapa, tetapi ini masa untuk membuktikan yang Islam itu penyelesaian yang sebaik dan seadilnya dan umat Melayu mampu berteraskan agama dan bersendikan perpaduan ummah membina sebuah negara yang bermaruah dan boleh memuatkan semua dengan adil dan sejahtera.

Jika umat Melayu yang merupakan majoriti penduduk dalam negara dapat mengorbankan diri mengikis sikap mementingkan peribadi dan bersama mengutamakan agama dan bangsa, negara akan menjadi aman dan semua rakyat jelata yang berbilang kaum dan agama dapat bernaung di bawahnya.

Oleh itu hentikanlah perbalahan dan bersama kita bermuafakat demi anak cucu keturunan kita yang akan datang.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 25/6/2020