Pengaruh Rukun Iman dalam budaya kerja

MANUSIA telah diberi amanah untuk memikul beban tanggungjawab mengurus dan mentadbir muka bumi Allah S.W.T, selaras dengan kehendakNya. Manusia diberikan akal untuk berfikir, dan berpotensi mengembangkan ketajaman fikirannya. Nikmat ini diberikan oleh Allah S.W.T sebagai kemuliaan mengatasi binatang:

Advertisement

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.}”

(al-Baqarah: 30)

FirmanNya lagi:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

(al-Israk: 70)

Kita perlu faham bahawa amanah yang diberikan adalah untuk menguruskan dan mentadbir bumi, orang yang beriman tak akan berdiam diri membiarkan bumi Allah ini diuruskan secara salah oleh mereka yang berkepentingan atau ditadbir oleh para perosak. Antara bentuk pengurusan dan pentadbiran yang disuruh oleh Islam ialah memakmurkan bumi Allah S.W.T dengan sistem yang disediakan oleh Islam.

Allah S.W.T berfirman:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.”

(al-Ma’idah: 50)

Kerjaya yang cemerlang

Di dalam kita melaksanakan tanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir bumi Allah ini, kita perlu melakukannya dengan penuh kesungguhan, ketekunan, amanah, integriti dan lain-lain. Kerjaya-kerjaya kita perlu dilorongkan selaras dengan kehendak Allah S.W.T agar kita berperanan sebagai ‘khalifah’ yang mengurus bumi ini dan bukan hanya sekadar mencari makan, atau nafkah.

Nabi S.A.W mengajar kita supaya melakukan tugasan dengan penuh ketekunan:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

“Sesungguhnya Allah Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.”

(Hadis Riwayat Abu Ya’la dan At Thabrani)

Kerjaya yang cemerlang bukan sekadar berciri-cirikan akhlak Islamiah, akan tetapi meletakkan aqidah sebagai tunjangnya. Iaitu menjadikan kerjaya kita sebagai tanggungjawab yang bakal membawa kita kepada redha Allah S.W.T. Insya-Allah kerjaya kita ini akan dikira oleh Allah S.W.T sebagai salah satu sebab yang melorongkan kita ke syurgaNya.

Allah S.W.T berfirman:

وَأَمَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُ جَزَاءً الْحُسْنَىٰ ۖ وَسَنَقُولُ لَهُ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا

“Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati.”

(al-Kahfi: 88)

Imam Thabari R.A menafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa Allah S.W.T akan mengajarkan kepada orang-orang yang beramal soleh ini dengan sesuatu yang mendekatkan diri mereka kepada Allah S.W.T. Jadikan kerjaya kita sebagai amalan soleh, insya-Allah ia merupakan faktor yang menghampirkan kita kepadaNya.

Rukun Iman dalam kerjaya

Kita sedia mengetahui 6 Rukun Iman. Mereka yang diberi kurnia oleh Allah S.W.T dengan keimanan yang shahih, pastinya akan cuba menterjemahkan elemen aqidah tersebut dalam skop kerjayanya.

(1) Keyakinan kepada Allah S.W.T.

Mereka yang meletakkan keyakinan kepada Allah S.W.T pastinya akan menjadikan setiap gerak kerjanya dengan rasa penuh tanggungjawab sebagai hamba yang dipertanggungjawabkan. Meyakini bahawa Allah S.W.T yang memberi rezeki, dalam masa yang sama gigih berusaha untuk mendapatkan redha-Nya.

Meyakini bahawa Allah S.W.T sentiasa memerhatikan gerak kerjanya, sentiasa berhati-hati agar kerjanya itu tidak mengheret ke arah murkaNya. Meletakkan matlamat kerjayanya bukan hanya sekadar mencari rezeki, akan tetapi merasa tanggungjawab sebagai hambaNya untuk memakmurkan bumi ini.

Dari sudut falsafah, rasa bertuhan mengajar kita erti kepatuhan. Sekiranya Allah kita patuhi kerana Dia Tuhan yang memberi segala-galanya, maka majikan kita patuhi kerana mereka membayar gaji kepada kita. Mengkhianati amanah kerja yang diberikan akan ditimpa kemurkaan dari majikan, sama sebagaimana mengkhianati perintah Tuhan.

(2) Keyakinan kepada malaikat.

Meyakini bahawa setiap gerak kerjanya sentiasa di dalam pantauan malaikat. Dalam keadaan sedar bahawa malaikat itu adalah makhluk yang ditugaskan oleh Allah S.W.T untuk melaksanakan pelbagai tanggungjawab untuk mengawal alam. Memudahkan perjalanan, memudahkan rezeki dan sebagainya.

Secara falsafahnya, keimanan kepada kewujudan malaikat yang mencatit boleh dilihat dari sudut dokumentasi. Ketekunan bekerja tidak akan membuahkan hasil sekiranya tidak diterjemahkan ke dalam bentuk rekod yang tersusun dan sistematik sebagaimana yang direkodkan oleh para malaikat.

Allah S.W.T berfirman:

كِرَامًا كَاتِبِينَ (11) يَعْلَمُونَ مَا تَفْعَلُونَ (12)

“(Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu); Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.”

(al-Infithar: 11-12)

(3) Meyakini kitab-kitabNya.

Yakin bahawa al-Quran itu adalah sebagai pedoman utama dalam setiap gerak kerja. Menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam menentukan hukum halal dan haram agar setiap kerja tidak terbabas ke lembah larangan Allah S.W.T. Tidak terlalu kagum terhadap teori-teori Barat melahirkan kerjaya yang berkualiti.

Allah S.W.T berfirman:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

(al-Baqarah: 185)

Secara falsafahnya, kitab-kitab ibarat ‘manual guide’. Sebelum kita bekerja, kita perlu memahami ‘job scope’ tugasan dengan jelas agar tidak tersasar atau bertindih (redundant) dengan pekerja lain.

(4) Meyakini Nabi-nabiNya.

Iaitu yakin terhadap apa yang diajar oleh Baginda S.A.W. Contohnya Nabi S.A.W melarang daripada rasuah, maka kita perlu menjauhkan diri daripada perbuatan itu sekalipun menguntungkan. Meyakini bahawa jalan yang diajarkan oleh Nabi S.A.W itulah yang terbaik untuk diterjemahkan dalam kerjaya.

Secara falsafahnya, Nabi S.A.W ibarat mentor dan guru. Dalam alam kerjaya, tidak cukup sekadar memiliki majikan dan buku panduan sahaja. Kita perlu dilatih dan diselia (supervise) oleh mereka yang berkepakaran. Konsep kenabian juga mengajar kita kepentingan memahami struktur organisasi dan hierarki institusi perkhidmatan kita.

Allah S.W.T berfirman;

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(al-Ahzab: 21)

(5) Meyakini Hari Akhirat.

Yakin bahawa adanya balasan di akhirat bagi mereka yang culas dalam kerja, curi tulang, mengurangkan timbangan dan sebagainya, sekalipun terlepas dari mahkamah dunia. Yakin bahawa setiap kerja yang dilakukan, ada halal dan haramnya, dan kesemuanya akan dihitung di hadapan Allah S.W.T untuk menentukan sama ada syurga atau neraka.

Allah S.W.T berfirman:

وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ

“Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.”

(al-A’laa: 17)

Secara falsafahnya, akhirat adalah matlamat hidup kita di dunia. Dalam kerjaya, memahami matlamat organisasi adalah penting supaya segala gerak kerja terarah dan mencapai matlamat yang digariskan.

(6) Meyakini qadha’ dan qadar.

Yakin terhadap apa yang terjadi adalah ketentuan dan ketetapan Allah S.W.T. Merasa cukup dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah S.W.T, tidak dengki dengan kekayaan orang lain. Kadangkala kita merasa resah dengan habuan yang tidak diperolehi, sedangkan kita perlu sedar bahawa Allah S.W.T telah menentukan rezeki setiap orang.

Nabi S.A.W bersabda:

إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة ، ثم يكون علقة مثل ذلك ، ثم يكون مضغة مثل ذلك ، ثم يرسل الله إليه الملك ، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات : بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد

“Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan roh kepadanya.”

(Shahih Bukhari)

Secara falsafahnya, qadha’ dan qadar mengajar kita konsep tawakal dan menyerah kepada Tuhan. Konsep ini sangat penting di alam kerjaya supaya kita bersederhana di dalam pekerjaan dan tidak putus asa sekiranya gagal dalam sesuatu perancangan. Perkara inilah yang tidak dimiliki banyak negara maju menyebabkan tekanan di tempat kerja dan akhirnya mengambil keputusan singkat dengan membunuh diri.

Kesimpulan

Islam adalah panduan terbaik dalam seluruh tatacara hidup. Tidak ada sedikitpun ruang dalam rutin seharian kita melainkan semuanya disediakan panduan olehNya. Hatta alam kerjaya yang lumrahnya bersifat keduniaan dan bermatlamat pulangan wang melalui gaji atau komisen, hakikatnya garis panduan agama telah tersedia bagi mereka yang mahu mengambil pengajaran

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 25/6/2020