Sedia terang mengenai Islam kepada sesiapa sahaja

نتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ

“Kalian adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.”

(Ali Imran: 110)

Advertisement

Islam adalah agama yang benar dan diredhai oleh Allah S.W.T. Islam adalah cara hidup yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan setiap orang beriman. Cara hidup mukmin yang diterima Allah mestilah berteraskan kepada asas akidah Islam. Akidah mukmin memerlukan kesepaduan antara iman, Islam dan ihsan untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Ajaran Islam hendaklah dihayati secara menyeluruh seperti mana ia diturunkan sama ada dalam bentuk akidah atau syariat yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Setiap Muslim tidak terkecuali dari mengikut seluruh ajaran Islam.

Namun, ajaran Islam yang benar hendaklah disebarkan dan difahami dengan teliti melalui ilmu seperti mana yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. Penting bagi umat Islam mendalami ilmunya yang sudah berkurun lama diajarkan dan diamalkan seperti Ilmu Akidah dan Feqah. Adapun Ulumul Quran yang terdapat di dalamnya Ilmu Tafsir untuk merungkai makna sebenar Kalam Allah S.W.T yang diturunkan wahyu kepada Nabi S.A.W melalui Jibril A.S. Begitu juga dengan Ulumul Hadis yang di dalamnya mempunyai Ilmu Mustholah Hadis untuk menjelaskan sabda Nabi S.A.W untuk difahami oleh semua manusia.

Oleh yang demikian, Pemuda PAS Bagan bersedia menjadi rujukan kepada siapa sahaja untuk memahami Islam dengan lebih mendalam dan lebih teliti terutama dalam menjelaskan ayat-ayat suci al-Quran agar tidak lari dari makna sebenar dan akan mengundang salah faham mengenai Islam.

Termasuk rakan-rakan bukan-Islam, terutama yang dilihat begitu teruja untuk memahami isi kandungan al-Quran itu sendiri. Selaras dengan Firman Allah S.W.T dalam surah an-Nahl ayat 125:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui mengenai siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Jelas ayat di atas adalah seruan kepada manusia baik yang beriman mahupun tidak untuk kembali ke fitrah yang asal iaitu memperhambakan diri kepada yang Maha Pencipta segala makhluk iaitu Allah S.W.T. Di dalam Islam juga, kita diajar untuk mengamalkan semua ayat-ayat suci al-Quran dan bukan diambil suku serta mengasingkannya dari kehidupan seharian.

Pemuda PAS Bagan konsisten dan komited dalam usaha dakwah ini serta merasakan peluang dakwah Islam terbuka kepada siapa sahaja tanpa syarat. Tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik. Ini merupakan peluang keemasan buat kami demi menyampaikan Islam agama suci ini. Bak kata pepatah, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.

MUHD HAFIS ALIAS
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan – HARAKAHDAILY 25/6/2020