Beli produk, bantu hidup berdikari OKU

ALHAMDULILLAH. Destinasi kedua dalam ruang lawatan kerja ke Pahang bersama JKM Pahang semalam adalah ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Tunas Sri Teruntum di Kuantan. Ianya adalah sebuah pusat pembangunan upaya untuk warga OKU dalam komuniti sekitar.

Masya-Allah, syukur dan teruja mendengar taklimat ringkas Pengurus PDKTST berkaitan usaha dan hasil warga OKU terlibat. Dengan memberi fokus kepada jahitan dan bakeri, ianya memanfaatkan hampir 30 warga OKU untuk memahirkan diri sehingga berjaya menghasilkan produk untuk jualan.

Kak Lah menyeru semua pihak untuk turut membantu warga OKU ini dengan membeli produk hasil kerja buat mereka untuk apa jua program atau sebagai hadiah jabatan atau syarikat atau persendirian. Untuk tempahan, boleh hubungi PDKTST dan mana-mana PDK seumpamanya. Pelbagai produk telah mereka hasilkan dengan baik. Menarik di PDKTST, mereka hasilkan pelbagai jenis beg daripada sepanduk atau gegantung PVC terpakai dan kain perca. Alhamdulillah terbaik!

Advertisement

Sebagai info, program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) merupakan salah satu program yang melibatkan pembabitan secara aktif ibu bapa, penjaga atau ahli keluarga warga OKU dan komuniti setempat untuk membantu OKU hidup berdikari dan diintegrasikan dalam masyarakat. Program ini diuruskan oleh Jawatankuasa PDK yang dilantik melalui persetujuan bersama antara JKM dalam komuniti setempat.

Bagi ibu bapa atau penjaga yang ada anak-anak OKU, jangan segan. Mereka adalah anak istimewa yang luar biasa kurniaan daripada Allah. Berikan mereka peluang berdikari dengan memahirkan diri di pusat-pusat pembangunan kemahiran OKU di seluruh negara. Pastikan mereka berdaftar dengan JKM secara rasmi. Pihak JKM di setiap negeri dan daerah akan sentiasa bersedia membantu anda.

YB DATO’ HAJAH SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – HARAKAHDAILY 26/6/2020