Atasi 80 peratus masalah banjir kilat di Salak

KUALA KANGSAR: Sebanyak RM540,000 diperuntukkan bagi Pemasangan Pembentung Kekotak di Jalan Ipoh – Butterworth, berhampiran Salak, Seksyen 634.5, di sini.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan, Dato’ Mohd Zolkafly Harun berkata, tindakan jangka panjang itu susulan aduan penduduk mengenai banjir yang kerap berlaku apabila hujan lebat.

“Banjir ini juga mengakibatkan trafik yang agak tinggi bagi jangka masa yang lama dan rumah sekitar kawasan ini juga turut terjejas akibat banjir sekiranya hujan lebat berterusan,” jelasnya.

Beliau meminta supaya pengguna laluan tersebut dan penduduk kampung sekitar untuk bersabar sepanjang projek penyelesaian banjir ini dijalankan.

Tegasnya, masalah banjir kilat dapat dikurangkan sekurang-kurangnya 80 peratus melalui projek naik taraf ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Hamdan Ali berkata, banjir sering berlaku kerana pembentung kekotak sedia ada tidak dapat menampung isi padu dan kelajuan aliran air ke titik akhir.

“Hujan lebat akan membawa serpihan-serpihan objek (debris), sekali gus akan menganggu perjalanan air. Tidak dapat tampung air yang banyak, air mula melimpah dan banjir,” tambahnya.

Terangnya, penaiktarafan pembentung kekotak baru lebih besar itu dapat melancarkan pengaliran air terutama semasa hujan lebat berbanding Pembentung Kekotak Asal yang bersaiz kecil.

Sempena rombongan lawatan itu juga Dato’ Zolkafly telah merasmikan Jambatan Baharu Sungai Kenas di Jalan Kuala Kangsar – Manong, Fasa 2.

Jelasnya, pembinaan jambatan baharu ini merupakan aspek penting dalam projek naik taraf jalan sedia ada dari Kuala Kangsar ke Pekan Manong.

“Jalan sedia ada sepanjang 11 kilometer akan dinaiktaraf menjadi 7 kilometer dan jambatan Sungai Jerlun, Sungai Ketior dan Sungai Kenas dirobohkan bagi membina semula jambatan baharu,” tambahnya lagi.

Kerajaan Negeri sangat cakna dan prihatin terhadap aduan rakyat khususnya melibatkan infrastruktur pembangunan setempat supaya segala urusan harian rakyat berjalan lancar dan teratur.

Turut hadir, Jurutera Daerah Kuala Kangsar, Syed Zubir Syed Husin sepanjang lawatan tersebut. – HARAKAHDAILY 27/6/2020