Kerajaan komited, proaktif tangani isu PATI

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan terus mengambil tindakan dalam menangani isu berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) menghantar pulang ke negara asal dan penempatan ke negara ketiga.

Advertisement

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya dan pelarian lain dari Myanmar terutamanya tidak harus hanya digalas oleh negara ini.

Menurutnya, Malaysia tetap menyediakan bantuan kemanusiaan kepada mereka itu walaupun bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967.

Malaysia turut menggesa Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) supaya menyegerakan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga.

Kemuka beliau, kesan krisis khususnya di Wilayah Rakhine telah memberi kesan kepada ASEAN dan secara tidak adil Malaysia terpaksa menampungnya, sekali gus menuntut kerjasama negara lain.

Dalam pada itu Tan Sri Muhyiddin turut menyuarakan kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Long untuk mempertimbangkan kebenaran ulang-alik rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu.

Pun begitu beliau sepakat bahawa pembukaan sempadan dilakukan secara berhati-hati dan mengikut garis panduan protokol kesihatan yang boleh membawa manfaat kepada kedua negara.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pihak Jabatan Imigresen Malaysia telah menghantar PATI dari Indonesia dan Filipina ke negara asal mereka.

Jelasnya, semua PATI telah melalui ujian saringan COVID-19 sebelum dihantar pulang dan masih terdapat lagi yang sedang dalam proses di mana semua itu hasil Operasi Benteng. – HARAKAHDAILY 27/6/2020