Usul Percaya PAS cermin kehendak akar umbi

MENURUT kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, PAS melalui wakil Parlimennya akan mengemukakan Usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Persidangan Parlimen yang dijangka bermula 13 Julai ini.

Advertisement

Usul ini dibuat bagi menzahirkan sokongan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Ke-8 ini yang telah menunjukkan kepimpinan yang prihatin serta mengutamakan rakyat sejak menerajui pentadbiran negara pada Mac 2020 yang lalu.

Sesungguhnya pendirian PAS ini konsisten dengan satu kajian terbaru sebuah badan bebas yang dipetik oleh penganalisis politik, Joceline Tan dalam akhbar The Star hari ini.

Menurut beliau dalam kajian tersebut tahap penerimaan rakyat terhadap PM Muhyiddin adalah Melayu 91 peratus, India (65%) dan Cina (25%). Manakala Tun Dr Mahathir pula Melayu 35 peratus, Cina (36%)  India (28%). Dan menurut sumber lain Anwar Ibrahim pula menerima sokongan Melayu 16 peratus, India (50%) dan Cina (47%).

Ini bermakna pada hari ini rakyat mengesahkan yang Muhyiddin adalah PM mereka yang mereka terima dan begitu juga kerajaan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang absah dan disokong.

Lantas dengan bukti ini tiada keperluan untuk membubar Parlimen kerana selepas 100 hari ternyata kerajaan ini kekal stabil didokong rakyat berbilang kaum dan agama.

Benar pada PRU14 dulu rakyat memberi mandat pada PH yang diketuai Tun Dr Mahathir tetapi mandat itu lesap apabila Tun meletak jawatan dan Kerajaan PH bubar.

Dalam kekosongan itu Yang di-Pertuan Agong melalui kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Baginda telah melantik Muhyiddin sebagai PM baru yang kemudiannya membentuk kerajaan baru PN menggantikan PH.

Rakyat telah ‘move on’ dan bersandarkan kajian di atas kini menerima PM dan kerajaan baru ini tanpa protes malah memberikan keyakinan pula.

Justeru wajarlah usul ini dibawa PAS dan semoga ia disokong oleh semua ahli Dewan Rakyat bagi mencerminkan kehendak akar umbi demi kestabilan dan kesinambungan kerajaan.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR- HARAKAHDAILY 27/6/2020