10 juta warga dunia sudah dijangkiti COVID-19

KUALA LUMPUR: Seramai 10 juta warga dunia dari 213 negara dan wilayah termasuk dua pengangkutan di perairan antarabangsa telah direkodkan positif COVID-19 tepat setakat jam 2:30 pagi waktu Malaysia hari ini.

Advertisement

Memasuki hari ke-204 sejak kes pertama jangkitan disahkan di Wuhan China pada 8 Disember tahun lalu, penularannya terus menunjukkan peningkatan yang mendadak dan meluas di banyak negara.

Sehingga kini juga lebih setengah juta yakni 500,626 kematian dicatatkan, namun lebih 5 juta berjaya mendapat kesembuhan, dengan Amerika Syarikat mewakili seperempat daripada kes dunia.

Negara Uncle Sam itu kekal berada di kedudukan pertama sejak 26 Mac lalu, dengan angka 128,152 kematian yang juga tertinggi dunia, sementara kes harian pula bertambah sebanyak 43,581 kes semalam.

Malah, statistik Amerika itu berjurang jauh dari Brazil yang berada di tangga kedua dengan 1,315,941 kes positif jangkitan, diikuti Rusia (627,646), India (529,577) dan United Kingdom (310,250).

Itali yang suatu ketika berada di carta kedua tertinggi dan hampir menyerah kalah kini di tangga kesembilan dengan 240,136 kes, manakala China selaku pencetus telah menghuni kedudukan ke-22.

Antara negara lain yang masih dan turut pernah berada dalam carta 10 dunia adalah Sepanyol kini di tangga keenam, Peru (7), Chile (8), Iran (10), Turki (13), Jerman (14), Perancis (16), Belgium (25) dan Switzerland (40).

Brazil dan India antara negara yang mutakhir ini semakin menunjukkan corak peningkatan membimbangkan, di mana Brazil sejak memasuki carta 10 dunia hujung April lalu cepat melompat ke tangga kedua.

Semalam, kematian di Brazil juga sudah mencatat 57,103 kes dengan kes harian 994 maut dan 35,887 positif baharu; jauh mengatasi Itali iaitu 34,716 kes dan cuma lapan maut, serta 175 positif baharu.

Juga mula mendaki tangga serta mesti diberi perhatian serius terhadap penularan sedang berlaku untuk segera dikekang adalah di Mexico, Bangladesh, Afrika Selatan, Colombia, Mesir dan Argentina.

COVID-19 di negara ASEAN

Malaysia yang satu ketika begitu lama berada di kedudukan teratas antara negara-negara ASEAN mulai ‘dipintas’ pada 12 April oleh Filipina, diikuti Indonesia pada 15 April dan Singapura (18 April).

Setakat semalam, Malaysia mencapai pemulihan 96.43 peratus yakni tertinggi di dunia, bersama rekod hanya 121 kematian dan 10 kes positif baharu dengan jumlah kumulatif sebanyak 8,616 kes.

Malaysia kini berada di tangga ke-70, manakala Indonesia teratas di tangga ke-29, Singapura (34), Filipina (38), Thailand (95), Vietnam (156), Myanmar (159), Brunei (173), Kemboja (174) dan Laos (197).

Indonesia sudah berjumlah 52,812 kes dengan 2,720 kematian, diikuti Singapura 43,246 kes tetapi cuma 26 maut, manakala Filipina 34,803 kes serta 1,236 mati, sementara Thailand 3,162 kes dan 58 maut.

Dengan rekod pemulihan terbaik dicapai Malaysia juga menyaksikan negara ini paling cepat menggerakkan semula pelbagai sektor dan operasi, namun dengan mengamalkan disiplin norma baharu. – HARAKAHDAILY 28/6/2020