Bukan monopoli milik PH dan selama-lamanya

Mandat rakyat adalah sokongan dan sentiasa berubah

ph

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tidak benar-benar mempunyai mandat daripada rakyat Malaysia hasil undi PRU14 lalu yang merekodkan perolehan hanya sekitar 45 peratus sokongan sahaja.

Advertisement

Penganalisis Politik, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, pelantikan kerajaan bukan semata-mata melihat sudut jumlah undi popular, tetapi juga sistem yang digunapakai dalam negara.

Pun begitu terangnya, walaupun dengan mendapat 45 peratus dari undi popular, tetapi tetap layak untuk menubuhkan kerajaan, begitu juga Perikatan Nasional (PN) secara yang menepati Perlembagaan.

Beliau memberi kupasan perkara itu dalam Wacana Kesatuan 11.0 membicarakan tajuk “Kerajaan Hari Ini: Apa Kata Pakar” secara siaran langsung di Facebook Kesatuan Mahasiswa anjuran Kesatuan Mahasiswa UUM, kelmarin.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu memetik contoh dari Perkara 43 Perlembagaan.

Menerang peruntukan itu jelasnya, Perdana Menteri yang hilang sokongan majoriti perlu meletak jawatan atau menasihati atau meminta Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

“Dalam Perlembagaan mempunyai elemen perubahan seorang Perdana Menteri yang hilang sokongan kepada Perdana Menteri yang baru. Apabila perkara demikian ada di dalam Perlembagaan, ia menggambarkan bahawa kemungkinan-kemungkinan yang berlaku sedemikian telah dikenalpasti oleh mereka yang menggubal Perlembagaan.

“Jadi kita boleh katakan prinsip penubuhan kerajaan tanpa melalui pilihan raya adalah sebahagian daripada sistem kerajaan negara kita yang ada di dalam Perlembagaan. Sebab itulah bila Perikatan Nasional tubuhkan kerajaan tanpa melalui pilihan raya, dia merupakan satu proses yang sah melalui undang-undang,” jelasnya.

Beliau turut menarik perhatian terhadap 22 bulan pemerintahan PH yang berdepan pelbagai isu hingga menimbulkan bantahan rakyat antaranya ratifikasi ICERD dan Statut Rom.

“Bagaimana pertembungan yang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin kerajaan antara Menteri wujudnya pandangan bercanggahan. Walaupun sebenarnya ini bertentangan dengan konsep responsible government atau konsep collective responsibality di dalam sistem berkerajaan.

“Kita boleh perhatikan juga dalam 22 bulan itu, terdapat beberapa Pilihan Raya Kecil yang merupakan sebahagian daripada indikator dapat menggambarkan perubahan sokongan rakyat. Umpamanya berlaku di Tanjung Piai, Semenyih, Cameron Highlands, di Rantau, dan juga di Kimanis.

“Di dalam semua pilihan raya itu ya, kerajaan atau parti PH gagal untuk mempertahankan kerusi ya. Dan semua ini sebenarnya menggambarkan perubahan dari sudut sokongan rakyat,” bentangnya.

Kerana perbincangan mandat menurut beliau, sebenarnya berkait rapat dengan perubahan dari sudut sokongan rakyat dan dalam sistem pilihan raya negara ini berteraskan undi kepada calon, bukannya kepada parti.

Katanya, walaupun diketahui pengaruh parti sangat besar, tetapi apabila dilihat dalam pilihan raya sebenarnya tidak semestinya sokongan itu kepada gabungan parti, iaitu tidak semestinya menggambarkan kemenangan.

Malah ujarnya, kemenangan itu juga tidak semestinya akan diterjemahkan sebagai mandat rakyat yang berkekalan kerana pengundian mungkin juga kerana parti, contohnya mengundi satu-satu parti.

“Contohnya sebelum ini dia mengundi BERSATU. Sekarang BERSATU sudah keluar daripada PH. Atau dia mengundi kepada wakil rakyat. Wakil rakyat bertukar sokongan. Atau dia mengundi kepada tokoh-tokoh ataupun pemimpin, umpamanya dia sokong PH kerana di dalam itu ada contohnya Dato’ Seri Azmin.

“Maknanya apabila Dato’ Seri Azmin keluar daripada PH, dia menukar sokongan dia. Begitu juga dia mengundi PH kerana memberi mandat untuk menghukum pemimpin-pemimpin tertentu sebelum ini yang dikatakan sebagai korup. Dan apabila dia dapati proses itu telah berjalan, mandat dia itu sudah selesai.

“Mungkin juga kita terjemahkan demikian. Jadi soal mandat ini dia kita tidak boleh kita macam menganggap mandat itu sebagai monopoli milik PH dan tidak akan berubah selama-lamanya. Dia boleh berubah walaupun di dalam tempoh selepas daripada pilihan raya, sebelum daripada pilihan raya yang akan datang,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 28/6/2020