Pakar sahkan legitimasi Kerajaan Perikatan Nasional

KUALA LUMPUR: Istilah ‘kerajaan pintu belakang’ merupakan propaganda untuk memberi label negatif dan buruk dengan menggambarkan pelakuan tersebut di luar daripada cara yang betul.

Advertisement

“Kalau kita datang rumah orang kan, kita ketuk pintu, tentunya kita nak masuk pintu depan, takkan masuk pintu belakang, kan? Jadi masuk pintu belakang ini satu konotasi yang tidak baiklah,” ujar Penganalisis Politik, Dr Muhammad Fathi Yusof.

Beliau memberi kupasan perkara itu dalam Wacana Kesatuan 11.0 membicarakan tajuk “Kerajaan Hari Ini: Apa Kata Pakar” secara siaran langsung di Facebook Kesatuan Mahasiswa anjuran Kesatuan Mahasiswa UUM, kelmarin.

Menurutnya, penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional yang dikaitkan dengan anggapan itu sebagai tidak sah atau membelakangkan rakyat mesti dinilai keabsahan atau legitimasinya.

Katanya, penilaian boleh dilakukan dari tiga perspektif, dengan perkara pertama dapat dilihat pada kaedah atau prosedur yang ditentukan dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Terang beliau, kerajaan baharu telah tertubuh selepas daripada peletakan jawatan Perdana Menteri baru-baru ini di mana hal terebut berada di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

“Maka keseluruhan Kabinet, bermakna meletakkan jawatan, kerana apa? Kerana kerajaan itu ditubuhkan melalui pelantikan seorang Perdana Menteri. Dan apabila Perdana Menteri resign, bermakna the whole cabinet is resign, seluruh Kabinet itu adalah meletakkan jawatan.

“Sebab itulah walaupun yang meletakkan jawatan seorang sahaja iaitu Tun Dr Mahathir, tetapi seluruh Menteri tidak dapat lagi berfungsi selepas daripada itu. Itu kita kena ingat ya peristiwa berlaku itu dan menyebabkan Yang di-Pertuan Agong terpaksa melantik Perdana Menteri yang lain.

“Cumanya di dalam tempoh yang lama itu, iaitu seminggu ya, sebelum ada Perdana Menteri baru, Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Interim Prime Minister pada waktu itu ya.

“Jadi Kerajaan Perikatan Nasional dilantik atau dipilih selepas daripada berlaku kekosongan di dalam kerajaan,” ujarnya yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bermakna jelas beliau, pembentukan kerajaan baharu itu telah berlaku secara yang memenuhi kehendak telah terdapat dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Kedua katanya, kerajaan itu dinilai penubuhannya sama ada menyebabkan pelanggaran undang-undang atau sebaliknya seperti elemen rasuah, tangkapan atau mengurung Ahli Parlimen, memaksa membuat perlakuan.

Serta ujar beliau sebarang cara lain yang bercanggah undang-undang dan menjadi satu bentuk jenayah kerana memberi wang untuk menukar sokongan atau menahan seseorang tanpa salah.

“Tetapi di dalam peristiwa perubahan kerajaan baru-baru ini ya, ataupun realignment of government, berubah daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional, tidak ada unsur demikian.

“Kita tak jumpa ada orang yang diberi rasuah, kita tak jumpa ada orang yang dipaksa untuk menukar sokongan, tidak ada. Bermakna kita boleh katakan dia berlaku tanpa ada unsur-unsur jenayah,” perakuinya.

Perspektif ketiga tegasnya, dinilai pada sudut moral sokongan kerajaan di mana indikator menunjukkan mandat rakyat telah berubah daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional. – HARAKAHDAILY 28/6/2020