Gelandangan: Mahu berubah atau sebaliknya?

PELBAGAI alternatif diwujudkan bagi terus membela nasib gelandangan untuk memberi jaminan dan kehidupan yang lebih selesa.

Isu gelandangan mula mendapat perhatian utama daripada kerajaan sejak negara dilanda wabak Covid-19.

Ekoran tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) sejak 18 Mac 2020, membuatkan ramai pihak yang tertanya-tanya bagimana akan nasib gelandangan ketika itu.

Walau bagaimanapun, keprihatinan kerajaan yang sentiasa mengalu-alukan cadangan dan suara rakyat telah mencakna kebajikan gelandangan yang amat terjejas di ibu negara.

Langkah yang diambil oleh kerajaan itu, dengan menyediakan kemudahan tempat tinggal sementara untuk gelandangan, makan minum dijaga dan dikawal serta dirawat oleh anggota kesihatan dengan baik.

Advertisement

Berita yang lebih menggembirakan kepada rakyat Malaysia apabila kerajaan memutuskan ingin menyediakan jaminan pekerjaan kepada gelandangan serta membimbing mereka sehingga mampu berdikari.

Di sebalik kegawatan penularan wabak Covid-19, jelas terpancar rasa gembira pada wajah golongan gelandangan yang selama ini hidup tanpa arah tujuan termasuk merempat di kota metropolitan Kuala Lumpur ini.

Namun pun begitu, pasti timbul pelbagai persoalan serta kerisauan terhadap jaminan buat golongan gelandangan, adakah nasib gelandangan akan terus terbela atau kembali merempat selepas tamatnya tempoh PKP ini nanti?

Tinjaun Harakah sekitar kawasan Lebuh Pudu, Pasar Seni, termasuk lingkaran pembangunan ‘River Of Life’ di ibu kota, mendapati golongan itu dilihat tidak seperti hari kebiasaan.

Rata-rata gelandangan berusia lebih kurang 40 tahun yang masih kelihatan di sekitar kawasan berkenaan. Namun dapat dilihat kurangnya golongan gelandangan dalam kelompok muda.

Ketika tinjauan, Harakah bertemu sekumpulan sukarelawan mengedarkan makanan kepada gelandangan di sekitar Jalan Raja Laut.

Seorang sukarelawan yang hanya ingin dikenali dengan nama Sollahudin berkata, semenjak pihak kerajaan mengumumkan inisiatif bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan gelandangan, populasi golongan itu semakin berkurangan.

Hal ini kerana mereka telah memiliki pekerjaan bagi menampung kehidupan selepas mendapat peluang untuk menjalani pekerjaan yang disediakan.

“Perkara ini juga dapat dilihat kebiasaan golongan itu mula beratur panjang untuk mendapatkan makanan, tapi sejak kerajaan umum sediakan peluang pekerjaan mereka kini sudah makin berkurang datang ke sini untuk ambil makanan.

“Selalunya, akan habis awal makanan yang dibawa untuk dibahagikan, tapi sekarang ini kita boleh nampak mereka makin kurang datang,” katanya ketika ditemui di sekitar kawasan tinjaun itu.

Berdasarkan pemerhatian Harakah, gelandangan yang tampil untuk mendapatkan makanan daripada kumpulan sukarelawan itu, mendapatkan makanan daripada kumpulan sukarelawan itu hanya belasan gelandangan sahaja yang datang.

Ini jelas, menunjukkan satu signal yang positif terhadap usaha baik yang dilakukan oleh kerajaan dalam membela nasib golongan gelandangan di negara ini.

Petanda ini juga, menunjukkan kerajaan prihatin demi memastikan kebajikan dan keselesaan mereka terus terjamin.

Sebelum ini, kerajaan juga memberi satu sinar yang baik terhadap gelandangan yang diselamatkan sepanjang tempoh PKP, yakni golongan ini ditawarkan pekerjaan dalam sektor perkilangan atau pekerja am, bagi memastikan golongan itu tidak kembali merempat selepas tamat tempoh PKP.

Inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan itu, membuka peluang kepada golongan gelandangan untuk memperbaiki kehidupan mereka dari lingkaran kesempitan hidup ke arah lebih baik setelah memiliki pekerjaan.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada golongan gelandangan sama ada mahu membuat satu perubahan atau sebaliknya, setelah pelbagai mekanisma diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu mereka untuk keluar dari kelompok kehidupan yang sedia ada.- HARAKAHDAILY 29/6/2020