Kedah dipacu seluruh jentera sebagai satu pasukan

BAYANGKAN, tak sampai 2 jam lepas angkat sumpah, Menteri Besar (MB) terus mula kerja. Sejurus selepas angkat sumpah sebagai MB pada 17 Mei 2020 (Ahad), Dato’ Paduka Setiausaha Kerajaan Negeri (SS), Dato’ Pegawai Kewangan Negeri (SFO), Dato’ Ketua Setiausaha Sulit (KSS) dan pegawai-pegawai berkaitan terus jumpa MB dan bentangkan kedudukan terkini kerajaan termasuk kedudukan kewangan dan GLC yang ‘sakit’. MB serta-merta beri arahan tubuhkan task force khas untuk tengok apa yang sakit dan beri ubat yang betul.

Maksudnya, MB dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan, masing-masing memberi kepercayaan yang tinggi terhadap satu sama lain! Ini faktor kedua mengapa pentadbiran MB sebagai ketua Kerajaan Negeri berjalan lancar setelah memasuki minggu ketujuh pemerintahan (faktor pertama telah dijelaskan di dalam hantaran sebelum ini).

Kerjasama dan hubungan baik daripada para pegawai tinggi kerajaan (KCS – Kedah Civil Service). SS, SFO, Pegawai Penasihat Undang-undang (LA), Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK), Ketua Setiausaha Sulit MB (KSS), pegawai-pegawai serta kakitangan Pejabat Menteri Besar, semuanya beri kerjasama yang amat baik kepada MB dan kami di pejabat.

(Dato’ SFO sendiri Isahak Murat membuat hantaran di FB peribadi mengenai prestasi sebulan pentadbiran MB! – rujuk screen shot di bawah)

Advertisement

Ada benda yang kami tak tahu, mereka beri pandangan dan cadangan. Ada benda yang kami nak laksana, mereka permudahkan jalan. Ada pandangan daripada kami, mereka sedia mendengar dan beri maklum balas. Memang best buat kerja kalau macam ini. Rasa benar-benar dalam satu pasukan!

Belum pernah dilihat MB sukar untuk berurusan dengan para pegawai. Hampir setiap mesyuarat atau pertemuan berkaitan kerajaan, MB terlebih dahulu akan dapat taklimat (briefing) daripada pegawai berkaitan. Perbincangan di dalam mesyuarat juga menjadi lebih lancar dan efisien, sebab sudah ada perbincangan (pre-council) sebelum itu dengan pegawai berkaitan.

Sekarang, mesyuarat MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) berlangsung setiap seminggu sekali, hari Rabu, tak pernah miss. Bermula dari minggu pertama selepas angkat sumpah, sehingga kini, dah 6 kali mesyuarat. Mesyuarat berlangsung di Wisma Darul Aman dan di daerah-daerah secara bergilir-gilir. Daerah pertama di Sik, kemudiannya Langkawi (minggu lalu), dan kali ini di Bandar Bharu.

Urusan-urusan rasmi kerajaan yang memerlukan kelulusan mesyuarat MMK dapat diselesaikan mengikut jadual. Pegawai-pegawai nampak seronok bekerja. Yalah, mereka bertungkus-lumus buat ‘paper’ untuk satu-satu mesyuarat MMK. ‘Paper’ itu bukan sikit, banyak. Nak buat satu-satu ‘paper’ bukan mudah. Kena ada latar belakangnya, ada objektifnya, ada fakta, ada kajian, ada angka, ada implikasi, dan ada syor yang spesifik. Banyak pihak terlibat untuk buat satu-satu ‘paper’.

Walaupun pegawai-pegawai penat buat ‘paper’, bila MB dan ahli MMK tengok dan belek ‘paper’ itu satu persatu, pegawai-pegawai rasa dihargai, kerja buat mereka berbaloi. Puas hati sebab boss tengok hasil kerja tangan mereka. Bila ‘paper’ itu lulus, barulah boleh teruskan proses berikutnya, iaitu pelaksanaan.

Insya-Allah, walaupun pentadbiran baru ini baru bermula (setelah 2 tahun PRU14), ia akan bergerak laju dengan kerjasama baik dan erat daripada pegawai-pegawai KCS. Inilah hikmahnya bila MB dan para pegawai bekerja sebagai satu pasukan. Kerja jadi cepat, pegawai buat kerja ligat, rakyat dapat manfaat!

AFNAN HAMIMI
Catatan minggu ke-7 – HARAKAHDAILY 29/6/2020