PAS, agensi k’jaan dan penduduk cegah denggi

TAMBUN: Jabatan Kesihatan Kinta dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Syed Mohd Noor Hisham Syed Hassan telah melakukan aktiviti cegah denggi, di sini semalam.

Advertisement

Inisiatif dalam mencegah dan memerangi penyakit bawaan nyamuk Aedes ini sebagai satu usaha bersama masyarakat khususnya para penduduk di kawasan perumahan Taman Meru 1B.

Pegawai Kesihatan Kinta, Deva Raja berkata, program ini di jayakan bagi membantu masyarakat mendapat kesedaran terhadap bahaya nyamuk yang boleh menyebabkan denggi dan chikungunya.

“Bagi membasmi kekangan ini, kita akan memasukkan ‘bunjut’ ubat nyamuk di dalam tangki septik hampir 60 rumah di taman ini dan kesannya (akan) bertahan sehingga 6 bulan,” jelas beliau.

Syed Nor Hisham pula dalam perasmiannya berkata, prorgram ini telah berjaya dilaksanakan di beberapa kampung dan taman perumahan dengan sambutan baik masyarakat setempat.

“Taman Meru 1B adalah sebagai permulaan di Zon Meru ini. Saya berharap semoga masyarakat sentiasa cakna terhadap persekitaran kediaman masing-masing.

“Walaupun Taman Meru 1B hanya mempunyai 1 kes sahaja sebelum (ini), namun ianya adalah sebagai persediaan awal dan langkah waspada untuk kesejahteraan berterusan sebelum merebak dengan lebih parah,” jelas beliau.

Turut hadir bagi menjayakan program itu, Ketua PAS Zon Meru, Ustaz Zabidi Zainal Abidin, Jabatan Amal Kawasan Tambun serta penduduk setempat. – HARAKAHDAILY 29/6/2020