PRK N.23 Chini: Tolak calon bebas pro-PH

N.23

ADUN Luit, Sufian Abd Jalil ditanya dalam Edisi 5 Soalan Terjah YB PAS oleh wakil HarakahDaily Pahang, USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL. Ikuti soal jawab berkaitan PRK N.23 DUN Chini tersebut.

Advertisement

HARAKAHDAILY: Sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam dunia ekonomi dan korporat sebelum menjadi wakil rakyat, apakah yang YB nampak kepentingan DUN Chini ini untuk kemajuan Negeri Pahang?
SUFIAN ABD JALIL: Untuk menjana kemajuan negeri menerusi peranan ADUN, maka pertama ADUN itu mestilah datang dari organisasi yang kukuh, baik dan berjaya. Bukan datang dari seorang yang bebas. Bila seseorang ADUN datang dari organisasi, maka dia boleh bergerak secara team work. Apatah lagi jika organisasi itu dari pihak kerajaan. Maka kemampuan untuk menjana kemajuan itu lebih mudah berbanding dengan seorang wakil rakyat bebas.

Dalam PRK Chini saya melihat calon yang ditawarkan oleh Barisan Nasional adalah calon yang berpengalaman dan mampu menyumbang buah fikiran dan pengalaman itu kepada pihak kerajaan dalam membangunkan negeri ini.

Ada pihak tertentu yang secara sinis menyindir dengan kata-kata, “Yang bertanding Umno. PAS terhegeh-hegeh buat apa? Apa yang PAS dapat?” Apa respons YB?
Sebenarnya PAS telah mengorak langkah jauh ke hadapan dengan melihat realiti apa yang berlaku hari ini. Orang Melayu dan umat Islam adalah kaum majoriti di negara ini. Maka PAS meletakkan kepentingan Islam mengatasi segala kepentingan yang lain.

Atas kepentingan ini juga Umno dan PAS telah bersetuju dengan satu titik pertemuan iaitu meletakkan agenda Islam sebagai perkara paling utama. Perjuangan ini memberi satu pulangan yang besar kepada rakyat. Maka tidak timbul soal kita tak dapat apa-apa dalam membantu Umno ini.

Mungkin YB boleh perincikan sikit, sejauh mana penglibatan Jentera Pilihan Raya PAS Pahang dalam membantu calon Umno-BN dalam PRK ini?
PAS telah menggerakkan seluruh jenteranya untuk membantu dalam kempen PRK DUN Chini. Ia melibatkan semua peringkat dari peringkat Cawangan hinggalah ke peringkat Negeri. Bahkan kesemua 8 ADUN PAS turun berkempen di DUN Chini.

Bolehlah saya katakan kita dari PAS sememangnya turun secara all out membantu calon dari Muafakat Nasional.

Kalau seseorang calon itu dapat kelebihan 1 atau 2 undi sekalipun, dia sudah dikira sebagai pemenang. Tetapi team Perikatan Nasional nampaknya hendakkan majoriti yang besar. Apakah isyarat yang hendak disampaikan kepada rakyat Malaysia menerusi keputusan PRK DUN Chini kali ini?
Orang Chini kena tolak calon bebas. Menolak calon bebas bererti menolak calon yang pro-pembangkang dan pro-PH. Beritahu kepada semua rakyat, kita tidak perlukan lagi Pakatan Harapan untuk memerintah negara ini. 22 bulan PH memerintah, sepanjang masa rakyat merasa tidak selesa, Raja kita dipermain-mainkan, bahasa kita ditinggal-tinggalkan, bahkan agama kita dipersenda-sendakan. Itu baru 22 bulan.

Maka kemenangan besar calon Perikatan Nasional adalah diperlukan untuk kita beritahu kepada seluruh negara bahawa rakyat memerlukan pemerintah yang stabil dan baik bagi menerajui pemerintahan negara ini.

Sekiranya menang, apa harapan YB dari calon yang akan memenangi DUN ini sebagai wakil rakyat?
Saya menaruh harapan yang tinggi agar calon Perikatan Nasional akan menang. Semoga dengan kemenangan ini, kita berharap sangat agar dapat membina Negeri Pahang maju di sudut fizikal dan juga maju dari segi spiritual. Seimbangkan perjuangan ini untuk rakyat Negeri Pahang. Agar kita dapat kejayaan dunia dan juga kejayaan akhirat. – HARAKAHDAILY 29/6/2020