PRK N.23 Chini: Umno sudah berubah

KETUA Ulamak PAS Negeri Pahang, Ustaz Zuridan Mohd Daud yang juga ADUN Damak telah menggerakkan Jentera Dewan itu membantu di PRK N.23 DUN Chini. Ikuti soal jawab beliau bersama wakil HarakahDaily Pahang, USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL.

Advertisement

HARAKAHDAILY: Kenapa PAS tolong kempen untuk calon Umno? Bukankah Umno dikaitkan dengan rasuah, kleptokrasi dan sebagainya?
USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD: Ini perkara siasah. Dalam kaedah fiqh dinyatakan ada perkara yang berubah hukum kerana berubahnya keadaan, masa dan tempat. Demikian halnya dengan perkara siasah. Pendekatannya berubah melihat kepada perubahan situasi, masa dan tempat. Dulu PAS menentang Umno ketika Umno berkuasa dan ada perkara-perkara yang PAS tidak setuju. Kini setelah Umno kalah, ia sudah banyak melakukan perubahan, terutama dalam aspek berkaitan agama dan juga menolak amalan rasuah. Maka PAS bersikap terbuka.

Berbeza pula dengan Pakatan Harapan yang berkuasa, mula menunjukkan perkara yang berbahaya, boleh mencetuskan ketegangan kaum, mempertikaikan pelbagai perkara berkait dengan agama, maka kita tidak dapat memberikan harapan kepada PH.

Justeru kita bersatu tenaga dengan Umno di bawah wadah Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Maka kita PAS sebagai salah satu entiti dalam permuafakatan ini bertanggung jawab untuk turun membantu calon dari Umno yang mewakili Muafakat Nasional dalam PRK DUN Chini.

Kenapa Dewan Ulamak sendiri turun. Tidak cukupkah Pemuda, Muslimat, dan wakil-wakil Kawasan yang terlibat dalam kempen PRK ini?
Ini perkara berkaitan amal jamaie. Dalam konteks gerak kerja pilihan raya, di atas kita ada Jabatan Pilihanraya PAS Negeri (JPRN) Pahang. Apabila Negeri arahkan Dewan-dewan supaya turun, maka kita turun. Kita tidak mempersoalkan arahan berkenaan.

Kedua, saya sendiri selaku ketua Dewan Ulamak memberitahu anggota-anggota Dewan Ulamak PAS bahawa ini adalah satu medan untuk kita melatih diri mempersiapkan segalanya untuk kita berhadapan dengan pilihan raya yang lebih besar iaitu PRU15 yang akan berlaku pada bila-bila masa dari sekarang.

Apakah peranan yang dimainkan oleh anggota-anggota Dewan Ulamak di Chini?
Dalam PRK DUN Chini, Dewan Ulamak PAS berperanan dalam gerak kerja kempen dan juga cuba mewujudkan suasana ibadah walaupun masing-masing sibuk dengan politik. Dewan Ulamak berperanan sebagai pemberi nasihat dan peringatan supaya masing-masing sentiasa mewujudkan hubungan dengan Allah, mendirikan solat, memelihara batas pergaulan dan aurat dan sebagainya.

Tujuannya supaya gerak kerja pilihanraya ini bukan sekadar agenda politik, tetapi ia juga sebagai salah satu amal soleh kita yang akan menjadi bekalan kepada kita di akhirat kelak.

Ramai menjangkakan Umno akan menang, jadi tidak perlulah Dewan Ulamak bersusah payah turun membantu?
Sebagai parti yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan, maka kita sentiasa berpegang kepada janji. Kita tidak akan khianati rakan-rakan tahaluf. Kita tetap mengambil sikap positif tetap turun berkempen. Kerana kita yakin banyak manfaat yang kita akan peroleh. Kita dapat bertemu dengan masyarakat. Kita dapat menyampaikan dakwah.

Harapan dari Dewan Ulamak kepada para pengundi di Chini?
Dewan Ulamak PAS Pahang mengharapkan agar pengundi-pengundi di DUN Chini dapat bersatu hati memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon yang mewakili Perikatan Nasional. Saya juga mendoakan sekiranya diberi kemenangan, moga-moga calon kita Saudara Mohd Shahrim Md Zain dapat menunaikan tanggung-jawabnya sebagai wakil rakyat dengan cemerlang insya-Allah.HARAKAHDAILY 29/6/2020