RM3,000 sebulan: KPPK galak rakyat kerja ladang

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPPK) menggalakkan agar anak muda dan rakyat bekerja dalam sektor perladangan khasnya kelapa sawit yang mampu memberi pulangan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, keutamaan kerajaan ketika ini ialah menarik minat pekerja tempatan bekerja di sektor perladangan kerana negara kekurangan 30,000 tenaga kerja dalam pelbagai pekerjaan di ladang.

Menurut Dr Khairudin ia juga selaras usaha negara mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selepas penularan Covid-19 yang menyaksikan ramai rakyat hilang pekerjaan.

Advertisement

Katanya lagi, pandemik Covid-19 telah menyebabkan ramai pekerja terpaksa diberhentikan dan banyak operasi syarikat ditutup.

Justeru tambahnya sektor perladangan komoditi membuka pintu seluas-luasnya kepada rakyat tempatan.

“Kerja sebagai pengait buah sawit di ladang besar memberi peluang pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan dengan disediakan kemudahan kediaman keluarga yang baik,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Dr Khairuddin berkata, kementeriannya mengutamakan pekerja tempatan berbanding warga asing dalam usaha menangani isu buruh paksa yang dijadikan bahan kempen antarabangsa bagi memburukkan sektor sawit negara.

Kata beliau, isu kontrak melibatkan warga asing antara isu yang dikaitkan dengan terma ‘buruh paksa’ oleh mereka.

Justeru tambahnya polisi meramaikan pekerja tempatan berbanding pekerja asing adalah polisi terbaik bagi melindungi kepentingan sawit Malaysia.

Tambah beliau, kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet untuk membincangkan isu pekerja asing.

“Setakat ini, kita kekal pada dasar baru yang telah diumumkan ke arah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di ladang dan meningkatkan penggunaan tenaga kerja tempatan,” katanya.

Beliau mengulas gesaan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia untuk kerajaan membenarkan pekerja asing kembali kerana industri kelapa sawit akan berdepan kerosakan teruk jika tidak dikecualikan daripada pembekuan pengambilan pekerja.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dilaporkan berkata, pengambilan pekerja asing baru untuk semua sektor tidak dibenarkan sehingga hujung tahun ini bagi membolehkan warga tempatan mengisi kekosongan itu.- HARAKAHDAILY 29/6/2020