Tukar Speaker: TS Ariff bukan orang politik?

Benarkah proses pemecatan Speaker adalah sama dengan Hakim?

KOMENTAR ke atas tulisan Datuk A Kadir Jasin

Maka berkatalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin, di sini [1]:
“Nak buang Nga kita fahamlah. Beliau adalah Ahli Parlimen DAP. Tapi Mohamad Ariff bukan orang politik. Beliau adalah bekas Hakim Mahkamah Rayuan. Jadi apa alasan dan motivasi Muhyiddin hendak membuang beliau? Jawapannya, Muhyiddin tidak perlukan alasan. Dia bos, jadi dia rasa dia boleh buat apa saja dia suka.”

Tambah Datuk A Kadir Jasin lagi:
“Namun begitu, menyingkirkan seorang Speaker bukanlah semudah itu jika Perlembagaan Persekutuan, peraturan dan konvensyen dipatuhi. Speaker Dewan adalah pelantikan di bawah Perlembagaan. Ada interpretasi undang-undang mengatakan bahawa proses pemecatan Speaker adalah sama dengan Hakim. Jadi kita kenalah ambil berat hal ini kerana jika dibenarkan berlaku sewenang-wenangnya, Muhyiddin akan terus menebas dan membakar segala institusi negara demi untuk terus berkuasa.”

Pertama sekali, mengenai alasan dan motivasi untuk menukar Tan Sri Mohamad Ariff. Telah disebutkan oleh mantan Timbalan Menteri Undang-undang, Hanipa Maidin, sebelum ini seperti dilapor oleh Malaysia Kini di sini [2] bahawa: “Sudah menjadi kelaziman bahawa kerajaan baru akan menjadikan pertukaran Speaker dan Timbalan Speaker sebagai antara agenda paling awal. “Tak bolehlah kerajaan baru (tetapi) nak pakai Speaker kerajaan lama. Ini bertentangan dengan parliamentary convention.”” Oleh itu, penukaran Speaker Dewan Rakyat tidak memerlukan apa-apa alasan dan motivasi khusus kerana ia, seperti disebut oleh Hanipa Maidin, adalah antara perkara terawal perlu dilakukan oleh sesebuah kerajaan baru bila berlakunya perubahan kerajaan.

Advertisement

Keduanya, benarkah Tan Sri Mohamad Ariff ‘bukan orang politik’ tidak sepertimana Nga Kor Ming yang aktif di dalam DAP? Telah disebutkan oleh saya dan banyak pihak lain sebelum ini bahawa:
(1) Tan Sri Mohamad Ariff sebelum ini adalah Pengerusi Lembaga Disiplin PAN serta Ahli Majlis Penasihat Pakar PAN dan sehingga kini masih lagi menjadi ahli PAN?
(2) Anak Tan Sri Mohamad Ariff, iaitu Lufti Hakim, hidup makan gaji selaku Setiausaha Akhbar dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sewaktu Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.
(3) Pegawai Tugas-tugas Khas Tan Sri Mohamad Ariff adalah pemimpin dan peguam PAN, Wan Anwar Wan Ibrahim.
(4) Setiausaha Sulit Tan Sri Mohamad Ariff adalah anak Timbalan Presiden PAN, Datuk Seri Salahuddin Ayub, iaitu Siti Fatihah.

Ketiganya, benarkah ada interpretasi undang-undang mengatakan bahawa proses pemecatan Speaker adalah sama dengan Hakim? Proses pemecatan Speaker sebenarnya tidak sama dengan proses pemecatan Hakim. Pengosongan jawatan Speaker telah diperuntukkan di dalam Perkara 57(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut ia boleh berlaku (a) apabila Dewan Rakyat bermesyuarat buat pertama kali selepas suatu Pilihan Raya Umum; (b) apabila dia terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat; (bb) apabila telah hilang kelayakan (kerana selepas tiga bulan dari pemilihannya untuk memegang jawatan itu atau pada bila-bila masa selepas itu dia ialah atau menjadi anggota mana-mana lembaga pengarah atau lembaga pengurusan, atau pegawai atau pekerja, atau melibatkan diri dalam hal ehwal atau urusan, mana-mana organisasi atau badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, atau mana-mana pengusahaan komersil, perindustrian atau pengusahaan lain); dan (c) jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian.

Oleh itu, tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Mesyuarat Parlimen mengemukakan usul mahu menukar Tan Sri Mohamad Ariff adalah suatu perkara yang sah dan selaras dengan Perkara 57(2)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan penukaran Speaker boleh dibuat bila Dewan Rakyat pada bila-bila masa membuat ketetapan untuk Speaker mengosongkan jawatan tersebut.

Malah, tindakan penukaran Speaker begini di peringkat negeri seperti yang berlaku di DUN Perak pada 7 Mei 2009 juga telah diputuskan kesahannya oleh Mahkamah sebagai selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 29/6/2020

[1] https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=10221789463101825&id=1114194475

[2] https://www.malaysiakini.com/news/526300

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.