UKeKWa terima anugerah EKSA dari MAMPU

KOTA BHARU: Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (UKeKWa) telah menerima pengiktirafan daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia Jabatan Perdana Menteri (MAMPU), hari ini.

Advertisement

Sijil pengiktirafan tersebut dianugerahkan kerana UKekWa memenuhi tahap keperluan kriteria komponen Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) kluster Do-It-YourSelf (DIY) berdasarkan piawaian standard nasional.

EXCO Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, pengiktirafan ini sekali gus refleksi tadbir-urus kecemerlangan Kerajaan Negeri Kelantan kerana kian banyak agensi diiktiraf, makin baik kerajaan itu ditadbir.

Beliau percaya, perancangan dan perbincangan konsisten bersama kakitangan secara terperinci semua agenda dan program yang berkaitan portfolio berasaskan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) amat mempengaruhi pencapaian tersebut.

“Kita bersyukur dan berterima kasih kepada semua staf UKeKWa di atas kesediaan dalam melaksanakan pembaharuan dan kreatif dalam memastikan perlaksanaan dan pengurusan sistematik dan praktikal dan proses libatsama dengan komuniti dan sasaran.

“Juga peka kepada perkembangan terkini dalam menjayakan pelan tindakan serta penambahbaikan demi mencapai Ubudiyah, Mas’uliyah dan Itqan (UMI) menjadi amalan secara konsisten.

“Sebagai penghargaan kepada warga UKekWa, jamuan kesyukuran, insentif dan bonus EXCO akan dipertimbangkan selepas kita rujuk bajet terlebih dahulu,” tulisnya.

Sementara itu, Pengarah UKekWa, Ilvira Mohd Dasuki turut merakam penghargaan sama kepada semua di atas kerjasama padu melibatkan semua jawatankuasa yang dilantik dan berusaha memenuhi kriteria yang digariskan.

“EKSA amat bagus kerana memotivasikan agensi kerajaan mengamalkan suasana kerja yang kondusif. Suasana kemas, teratur, staf bersemangat dan gerak kerja optimum dapat dicapai. Paling berkesan, fail mudah dicari kerana lebih tersusun dengan penandaan sistematik.

“Warga kerja menghargai peranan dan tanggungjawab sesama rakan sekerja, bersikap lebih profesional dan imej korporat semakin menyerlah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/6/2020

U-KEKWA CEMERLANG EKSAoleh Norzana RazalyKOTA DARUNAIM – Urusetia Kebajikan, Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan…

Posted by Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan on Monday, June 29, 2020
6