Usul tukar Speaker: Mantan Menteri dibidas

menteri

GELI hati dengan reaksi mantan Menteri Undang-undang, Datuk Liew Vui Keong, ke atas usul untuk menukar Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat seperti dilapor oleh Malaysia Kini di sini, [1]:
(1) “Jelas Datuk Liew Vui Keong, usaha tersebut juga tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan melanggar doktrin pemisahan kuasa. Doktrin pemisahan kuasa dengan jelas menyatakan yang Eksekutif (Kerajaan), Legislatif (Parlimen) dan Kehakiman (Mahkamah) adalah tiga organ berbeza negara yang bebas antara satu sama lain. Satu organ tidak boleh dengan mudah masuk campur urusan (organ) lain. Malaysia mengamalkan doktrin ini.”
(2) “Tambah Datuk Liew Vui Keong, tidak ada sebab untuk menyingkirkan Tan Sri Mohamad Ariff dan Nga Kor Ming kerana kedua-duanya menjalankan tugas dengan profesional.”

Advertisement

Kasihan sungguh mantan Menteri Undang-undang yang mungkin tak baca kenyataan mantan Timbalan Menteri Undang-undang, Hanipa Maidin, sebelum ini seperti dilapor oleh Malaysia Kini di sini, [2]: “Hanipa berkata sudah menjadi kelaziman bahawa kerajaan baru akan menjadikan pertukaran Speaker dan Timbalan Speaker sebagai antara agenda paling awal. “Tak bolehlah kerajaan baru (tetapi) nak pakai Speaker kerajaan lama. Ini bertentangan dengan parliamentary convention.””

Tidak ada yang tak kenanya dengan usul untuk menukar Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ini.

Ia belum berlaku di Dewan Rakyat kerana tak pernah berlaku perubahan Kerajaan Pusat di pertengahan penggal sebelum ini, tetapi bila ia tak pernah berlaku tak bermakna ia tak boleh dibuat. Malah ia biasa berlaku di negeri-negeri yang pernah berlaku perubahan Kerajaan Negeri di pertengahan penggal seperti penukaran Speaker DUN Perak pada 7 Mei 2009 dan bila ia berlaku Mahkamah sendiri memutuskan kesahannya selaras dengan Perkara 72 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut “Kesahan apa-apa prosiding di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri tidaklah boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah”. Baca di sini: [3]

Begitu juga dengan penukaran Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ini yang sudah tentu akan diisytiharkan sah oleh Mahkamah selaras dengan Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut “Kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah”. Inilah doktrin pemisahan kuasa yang sebenarnya.

Usul untuk menukar Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang dibuat oleh Perdana Menteri tidak boleh dikatakan cubaan Eksekutif (Kerajaan) untuk masuk campur urusan Legislatif (Parlimen). Seksyen 4a (1) dan 4a (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat jelas menyebut “Maka hendaklah ada seorang Ketua Majlis Mesyuarat” dan “Ketua Majlis Mesyuarat ertinya ahli Majlis Mesyuarat yang sedang menjadi Ketua Kerajaan”. Jadi sudah pastilah usul ini mengikut peraturan dan tidak bercanggah dengan doktrin pemisahan kuasa kerana usul ini sudah pastilah perlu dikemukakan oleh Ketua Majlis Mesyuarat yang merupakan Ketua Kerajaan.

Susah juga berhadapan dengan pembangkang seperti ini. Bila PN tak ganti Speaker Dewan Rakyat sebelum ini, PN dipersoalkan hebat dengan ayat-ayat seperti “Kenapa PN tak mahu tukar Speaker yang dipilih semasa PH mengambil alih kerajaan semasa PRU lalu?” dan “Petanda awal PN tak bermajoriti di Parlimen.” Lihat di sini: [4]

Bila PN nak ganti Speaker Dewan Rakyat pula, macam-macam complain pula yang keluar.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 29/6/2020

[1] https://www.malaysiakini.com/news/532104

[2] https://www.malaysiakini.com/news/526300

[3] https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2009/09/09/mahkamah-batal-saman-sivakumar-terhadap-speaker-dun-perak

[4] https://www.malaysiakini.com/news/524741

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.