Kapal nelayan asing dijadikan tukun tiruan

KUALA TERENGGANU: Dua kapal nelayan asing yang dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu dilupuskan di perairan Batu Buruk, hari ini untuk dijadikan tukun tiruan.

Advertisement

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kedua-dua bot tersebut telah dilucut hak oleh mahkamah sejak 9 hingga 30 Mei tahun lepas dan tindakan itu menjadi simbolik kepada ketegasan pihaknya dalam mengekang kebanjiran nelayan asing.

“Dua buah bot ini ditenggelamkan pada jarak 4.7 batu nautika dari Pantai Batu Buruk dan posisi pelupusan kapal tersebut adalah mengikut kawasan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perikanan, Taman Laut dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

“Kawasan tukun tiruan tersebut turut dijadikan kawasan kajian oleh pihak ISMAT bagi memastikan kesesuaian penggunaan bot fiber bersalut kayu sebagai tukun tiruan terhadap ekosistem serta kehadiran spesis ikan di kawasan berkenaan,” katanya selepas program pelupusan bot nelayan asing di sini, hari ini.

Muhammad Suffi berkata berdasarkan kajian yang dilakukan oleh ISMAT, kawasan yang mempunyai tukun tiruan mampu meraih jumlah tangkapan ikan bernilai RM70,000 selepas tempoh tiga bulan.

Belia berkata sejak 2006 sehingga kini, sebanyak 153 buah bot nelayan asing dilupuskan untuk dijadikan tukun tiruan di seluruh perairan Terengganu, yang dianggarkan bernilai RM153 juta. – BERNAMA