Ketelitian YDPA pilih PM tidak patut dipertikai

KUALA LUMPUR: Ketelitian Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menangani kemelut politik negara pada Mac lalu tidak sepatutnya dicabar oleh mana-mana pihak.

Advertisement

Penganalisis Politik, Dr Muhammad Fathi Yusof memuji ketelitian kaedah dijalankan baginda, namun menyifatkan apabila dibalas dengan pertikaian, ianya menjadi satu perkara yang amat menyedihkan.

Menurutnya, YDPA menggunakan kaedah bertemu atau bersemuka seorang demi seorang di mana ia merupakan satu langkah yang sangat berhati-hati dan perlu dihargai oleh pihak-pihak berkenaan.

Kerana ujar beliau, baginda sebenarnya boleh melantik berdasarkan kepada representasi ataupun penyataan daripada pemimpin parti-parti sahaja atau melihat, atau membuat satu tinjauan secara rambang.

“Kaedah itu menggambarkan telitinya YDPA dan sepatutnya dengan ketelitian itu, tak ada pihak yang ingin mencabar lagi keputusan yang telah dibuat oleh baginda. Sebenarnya kalau sesiapa yang tidak berpuas hati dengan keputusan YDPA ini ada forumnya iaitu melalui Sidang Parlimen,” jelas beliau.

Beliau memberi kupasan perkara itu dalam Wacana Kesatuan 11.0 membicarakan tajuk “Kerajaan Hari Ini: Apa Kata Pakar” secara siaran langsung di Facebook Kesatuan Mahasiswa anjuran Kesatuan Mahasiswa UUM, baru-baru ini.

Dr Fathi juga adalah Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Katanya, Perlembagaan menyebut banyak mengenai kuasa YDPA tetapi tidak Perdana Menteri di mana Perkara 39 meletakkan kuasa eksekutif itu kepada YDPA yang boleh pula memberi kuasa kepada Jemaah Menteri.

Begitu juga kemukanya, Perkara 41 menyebut mengenai kuasa YDPA menjadi pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan dan bukannya Perdana Menteri atau Menteri Pertahanan.

Tegasnya, kuasa YDPA itu bukan satu simbol tetapi benar-benar wujud, sedangkan kuasa Perdana Menteri dan Menteri-menteri pula adalah sebenarnya diturunkan dari kuasa YDPA.

Pelantikan Perdana Menteri

“Walaupun memang ada di dalam Perlembagaan menyebut bahawa di dalam melaksanakan tindakan, YDPA mendapat nasihat daripada PM. Itu satu kaedah yang biasa. Sebab PM mempunyai tanggungjawab untuk memberikan nasihat yang baik kepada YDPA.

“(Tetapi) YDPA mempunyai budi bicara dalam beberapa perkara umpamanya membubarkan Parlimen atau tidak, atas permintaan PM. Itu YDPA boleh tentukan, maksudnya boleh tolak.

“Dan juga kuasa YDPA berkaitan dengan pelantikan PM. Ini sangat besar. Sebab ini dalam Perkara 43(2) itu menggunakan perkataan menggambarkan bahawa itu adalah budi bicara YDPA.

“Umpamanya ‘pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan’. Maksudnya YDPA boleh melantik Perdana Menteri dan menggambarkan bahawa bila baginda berpendapat demikian, dia tidak boleh dicabar di dalam mana-mana mahkamah,” kupasnya. – HARAKAHDAILY 30/6/2020