Lebih 1,000 ahli WARISAN di Libaran keluar parti

SANDAKAN: Lebih 1,000 lagi ahli Parti Warisan Sabah daripada 12 cawangan di kawasan Parlimen Libaran hari ini mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta.

Advertisement

Nolokman Tamal, yang sebelum ini Ketua Warisan Cawangan Kampung Sri Ujung 2, mengetuai kumpulan itu, berkata kebanyakan daripada 1,320 ahli itu adalah dari kawasan DUN Sungai Sibuga, bertindak keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu.

“Keputusan kami adalah atas kerelaan kami sendiri dan tanpa paksaan.

“Kami juga ingin menyatakan sokongan kami terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan Tan Sri Musa Aman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga,” katanya pada sidang akhbar mengenai pengumuman itu di sini, hari ini.

Nolokman berkata daripada jumlah yang keluar hari ini, seramai 1,250 ahli daripada 11 cawangan di DUN Sungai Sibuga dan 70 ahli daripada satu cawangan di DUN Gum-gum.

Pada 26 Jun lepas, lebih 1,000 ahli daripada 11 cawangan di Parlimen Libaran mengumumkan keluar parti atas sebab yang sama iaitu hilang kepercayaan pada kepimpinan parti. – BERNAMA