PAS Lumut hulur sumbangan mangsa kebakaran

LUMUT: Ahli Majlis Perbandaran Manjung, Habibah Rasdi yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Lumut telah melawat mangsa kebakaran serta memberi sumbangan daripada PAS Lumut di sini, kelmarin.

Advertisement

Kejadian kebakaran tersebut telah memusnahkan seluruh kediaman keluarga Sulaiman Ayob dan isterinya, Nor Akma Youb Othman di Lorong Indah Batu 15 Lekir, dekat sini pagi kelmarin.

Kata Sulaiman, sewaktu kejadian berlaku, beliau sekeluarga tiada di rumah kerana pulang ke kampung halaman di Kuala Kangsar.

Akibat daripada kebakaran itu, Sulaiman bekerja sebagai nelayan tidak dapat menyelamatkan sebarang dokumen penting seperti sijil lahir, geran tanah dan motosikal, sijil nikah dan buku persekolahan anak.

Sementara itu, menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7:46 pagi dan tiba ditempat kejadian jam 8:05 pagi.

Beliau memaklumkan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Manjung dan Ayer Tawar turut membantu dalam kerja-kerja memadam api kebakaran dan selesai pada jam 9:00 pagi.

Habibah mendapati kebakaran membabitkan itu turut menghanguskan empat motosikal dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM120,000 berdasarkan laporan polis yang telah dibuat mangsa. – HARAKAHDAILY 30/6/2020