PASTI Gombak disanitasi untuk mula operasi

GOMBAK: PASTI Kawasan Gombak yang mempunyai 34 cawangan telah bekerjasama dengan Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Gombak melakukan sanitasi sebagai persediaan operasi semula premis itu.

Advertisement

Siap siaga tersebut setelah Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkam semua prasekolah dibenarkan beroperasi bermula daripada 1 Julai ini termasuklah seluruh PASTI di Malaysia.

Pembukaan semula premis ini adalah dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah dikeluarkan oleh PASTI Malaysia bagi mematuhi segala SOP daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Pengerusi Majlis PASTI Pemuda Gombak, Ustaz Taufik Yusof yang juga Ketua Pemuda PAS Gombak, pihaknya komited mematuhi SOP itu bagi menjamin keselamatan pelajar PASTI agar terhindar daripada penularan wabak COVID-19.

Katanya lagi, seluruh PASTI Gombak telah berjaya disanitasi dengan bantuan daripada AMAL serta MediCorp yang telah bertugas secara sukarela bagi memastikan keselamatan pelajar PASTI terjamin.

AMAL Gombak yang diketuai oleh Muhammad Rashidi Ab Hamid merangkap Naib Ketua Pemuda PAS Gombak turut serta menjayakan Ops Khidmat Sanitasi di hampir semua premis PASTI di Gombak sejak minggu lalu.

Menurut Muhammad Rashidi, semua ahli AMAL Gombak telah dikerahkan mengikut DUN masing-masing untuk memastikan PASTI di Gombak telah disanitasi sebelum bermulanya operasi pra-sekolah pada 1 Julai ini.

Menurutnya lagi, AMAL ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada AMAL Negeri Selangor serta Bomba Sukarela Gombak kerana telah memberikan taklimat serta latihan sebelum Ops Khidmat Sanitasi ini  bermula.

Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai PASTI di sekitar Gombak, bolehlah menghubungi Pegawai Setiausaha PASTI Gombak, Abdul Muiz Ibrahim di talian 011-1034 6534. – HARAKAHDAILY 30/6/2020