PH makin mengalahkan Mat Jenin

RAKYAT dan kerajaan sedang fokus membangun dan membina semula negara pasca COVID-19 tetapi pihak pembangkang terus ghairah mencaturkan siapa kalangan mereka layak sebagai calon bakal PM.

Calon PM untuk apa sedang Kerajaan PN makin stabil dan disenangi rakyat. Jelas makin kacau dan tidak menentu pakatan mereka sejak hilang kuasa dan jawatan.

Dan dalam pada kekalutan itu mereka terus bertelagah pula menentukan calon, cukup lucu gelagat mereka di mata rakyat. Anwar mahu jadi Perdana Menteri (PM) setelah sekian lama menunggu tetapi Tun Dr Mahathir pada awalnya juga mahu menuntut.

Advertisement

Kini Tun kemuka calon baru pula iaitu Shafiee Apdal dan Anwar serta anaknya Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Melayan karenah mereka timbul pula persoalan, mengapa tidak dicalonkan Presiden PAN Mohamad Sabu? Jika dulu beliau layak jadi Menteri Pertahanan mengapa tidak PM? PAN punya 11 kerusi sedang WARISAN cuma 9.

Dan mengapa tidak Tengku Zulpuri MP Raub dari DAP? Beliau satu-satu MP Melayu DAP dan DAP punya 42 kerusi. DAP langsung tidak mahu mempromosi Tengku Zul sedang mereka parti terbesar dalam PH. Adakah DAP ragu kemampuan beliau atau tidak percaya pada beliau kerana beliau seorang Melayu?

Puak pembangkang terus bertelagah isu calon PM ini. Dalam keributan itu PAS pula bakal kemuka Usul Undi Percaya terhadap PM Tan Sri Muhyiddin di Parlimen 13 Julai nanti.

Bersama kita melangkah ke hadapan demi negara tercinta. Tinggalkan kelompok kecewa ini lemas dengan angan-angan kosong mereka.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 30/6/2020