Polis diminta siasat P.Ramasamy – UMMAH

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) membuat laporan polis berikutan tulisan Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang Dr P. Ramasamy di sebuah portal Sangam yang cuba meniup api perkauman dalam kalangan masyarakat Tamil.

Laporan polis telah dibuat di beberapa buah negeri bermula di negeri Kedah, Perak, Pahang, Melaka, Terengganu dan diikuti negeri-negeri lain.

Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa berkata, laporan itu dibuat ekoran tulisan Ramasamy yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP yang dilaporkan cuba mencetuskan api kemarahan kaum Tamil dengan menyebut kaum Tamil di Malaysia dinafikan peluang pekerjaan dalam sektor awam dan swasta.

Advertisement

Memetik posting di Facebook Gerakan Pembela UMMAH Perak, Pengerusi Gerakan Pembela UMMAH Perak Khalil Idham Lim juga melakukan hal yang sama dengan membuat laporan polis di ibu Pejabaf Polis Daerah Kerian Perak berkenaan tulisan perkauman yang dibuat oleh Ramasamy.

Dalam laporan tersebut, Khalil Idham menyenaraikan 20 perkara yang diucapkan oleh Ramasamy yang jelas melanggar undang-undang.

Menurut Khalil Idham tulisan Ramasamy ini tersebar luas, boleh dibaca oleh seluruh rakyat Malaysia di seluruh dunia dan boleh mempengaruhi pembacanya.

“Tulisan-tulisan Dr P Ramasamy ini merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang negara, khususnya di bawah Seksyen 3 (1) dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan yang menyatakan mereka yang mengembangkan perasaan niat jahat, permusuhan atau kebencian antara kaum serta golongan penduduk yang berlainan di Malaysia.

“Atau mengembangkan perasaan niat jahat, permusuhan atau kebencian antara orang ramai atau kumpulan orang ramai atas dasar agama, adalah atas melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh bagi kesalahan pertama didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Ini juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan yang berbunyi, barang siapa membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain, hendaklah dihukum penjara dua tahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya,” tegas Khalil Idham.

Kenyataan-kenyataan yang berbaur perkauman itu di muat naik di laman web Sangam yang bertajuk ‘As an Exploited Group in Malaysia, the Tamils More Than Any Other Group, Full Understand the Plight of Their Brethren in Sri Lanka’ dan ‘Not Only have Tamils Lost Out Economically to Other Ethic Groups, Employment Opportunities have been Denied Both in the Public and Private Sector’.- HARAKAHDAILY 30/6/2020