Vaksin SkyCell Flu tiada sebarang unsur haiwan

SAYA dapat maklum bahawa antivaksin cuba mengelirukan orang ramai mengenai vaksin SkyCell Flu keluaran Korea Selatan. Antara dakwaan yang diputarbelitkan oleh mereka adalah vaksin tersebut mengandungi DNA anjing kerana proses pembuatan terdiri dari ginjal anjing.

Inilah padahnya apabila membaca tulisan antivaksin yang tiada latar belakang perubatan. Segala maklumat produk terus diputarbelit sehingga boleh mengelirukan pembaca yang naif berkaitan perubatan.

Inilah padahnya juga menerima maklumat tidak betul dari golongan yang sudah negatif dengan perubatan moden, hatta ulasan ulamak, para mufti dan cendekiawan diketepikan demi menegakkan benang basah mereka.

Sudah banyak penjelasan yang telah pihak kami berikan, tetapi masih juga mereka tidak berganjak dari berfikiran jumud dan tertutup. Cukuplah sekadar kita menyebut, “Jangan ambil keterangan mereka, semuanya sia-sia.”

Advertisement

Cuma kita kesian dengan netizen yang baharu berjinak dengan dunia maya. Di zaman manusia mencari maklumat melalui media sosial. Apa sahaja info yang disuap terus diterima tanpa;
(1) Berfikir siapa pemberi maklumat, adakah golongan yang berwibawa atau ahlinya atau tidak.
(2) Memikirkan agenda tersembunyi sebahagian besar di kalangan antivaksin. Kebanyakannya nak melariskan produk kesihatan yang tidak diiktiraf oleh majoriti pakar seluruh dunia.
(3) Melihat kesan wabak yang akan melanda jika mereka menolak vaksin.
(4) Mengenangkan jasa dan penderitaan umat terdahulu dalam berjuang melawan penyakit.
(5) Mengambil buah pandangan dari pakar perubatan mahupun pakar keagamaan dalam sesuatu isu.

Dr Amirul Amzar, Exco Medical Mythbusters Malaysia telah menyangkal keterangan songsang yang pernah dibuat oleh antivaksin berkaitan dengan vaksin SkyCell Flu mengandungi DNA anjing itu.

Dr Amirul menegaskan: “Sel haiwan itu hanya digunakan dalam penghasilan vaksin sahaja. Ia digunakan sebagai tapak semaian virus. Virus itu akan diambil dan disuling, barulah dijadikan vaksin. Sel haiwan itu sendiri tidak dimasukkan dalam vaksin itu. Malah hasil akhir dalam vaksin itu disahkan tidak mengandungi sebarang unsur haiwan (rujuk gambar).”

Pernyataan memang terang lagi bersuluh dalam isu ini, tiada DNA haram. Bahkan para ulamak telah pun banyak beri perumpamaan dalam kitab berkaitan isu tapak semaian itu. Sayur yang kita makan, susu yang kita minum, minyak sawit yang kita telan, gula yang kita ambil, semuanya itu contoh-contoh yang terkini bagi menggambarkan bahawa Islam telah pun meletakkan hukum yang berkaitan.

Tetapi seperti biasa, memang antivaksin sengaja melontar batu dan menyorokkan tangan apabila penjelasan isu sebegini dikemukakan. Mereka hanya membuat persepsi sendiri demi menjadikan hujah kenapa mereka berterusan menolak vaksin.

Apa hukum guna bahan haram untuk berubat?

Dari sudut perbahasan yang lain pula, andai kata sesuatu ubatan itu terpaksa menggunakan bahan haram sekalipun, ulamak telah berbincang sejak zaman berzaman lagi. Ramai antivaksin akan merujuk kepada satu sabdaan Nabi S.A.W berkaitan dengan pengharaman menggunakan bahan haram dalam berubat:

“Sebagaimana Imam Bukhari ada menyebutkan dalam shahihnya daripada Ibnu Mas‘ud katanya: Maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar (kesembuhan) kamu pada benda-benda yang diharamkan ke atas kamu.”

Hadis tersebut terdapat perbahasan ulamak berkait dengannya. Bukan hanya difahami secara literal tanpa penghujahan yang tepat.

Tidak dinafikan, ada juga antara penyakit itu yang sukar ditemui ubatnya. Sebahagiannya pula boleh disembuhkan dengan menggunakan ubat-ubatan daripada benda-benda najis iaitu berdasarkan kajian dan pengalaman orang-orang terdahulu. Oleh kerana itu, menurut pendapat yang ashah dalam mazhab Syafi’ie, adalah harus berubat dengan segala benda najis, kecuali yang memabukkan, dengan alasan bahawa berubat itu adalah merupakan perkara darurat. Sedangkan darurat itu mengharuskan kita mengambil apa yang ditegah, sebagaimana firman Allah S.W.T:

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ وَإِنَّ كَثِيرًا لَيُضِلُّونَ بِأَهْوَائِهِمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِالْمُعْتَدِينَ

“Dan sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kamu satu persatu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali yang terpaksa kamu memakannya.”

(al-An’am: 119)

Dalam isu vaksin ini, sudah jelas tiada bahan haram. Penggunaan ginjal haiwan itu adalah proses yang berlaku bukannya final product. Contoh yang Dr Amirul berikan itu adalah contoh terbaik iaitu tapak semaian bagi tanaman. Buah atau sayur yang dimakan bukannya tapak semaian yang bernajis. Begitu juga contoh susu… penghasilan susu adalah dari darah. Hukum makan darah adalah haram tetapi susu pula halal walaupun pembentukan susu itu adalah hasil ‘sintesis’ dari darah.

Andai kata terpaksa menggunakan bahan haram sekalipun, Diharuskan mengambil bahan haram dalam keadaan tertentu yang melibatkan nyawa manusia. Perbahasan oleh ulamak muktabar cukup panjang menerangkan isu ini. Kita jangan menyempitkan keluasan fiqh. Jika tidak, mana mungkin Rasulullah S.A.W menyuruh kaum Ukal meminum air kencing unta (air kencing itu najis dan haram) untuk mengubati penyakit yang dialami oleh mereka. Bermaksud di sini sandaran yang menyatakan Allah tidak menjadikan ubat atas bahan haram sudah tertolak! (Naizubillah). Sebenarnya tafsiran Hadis tersebut telah pun diperbincangkan oleh alim ulamak.

Peringatan: Kita ini selalu melontarkan perbincangan yang terlalu detail mengenai isu ini. Saya bimbang proses yang rumit dalam makmal sebelum keluar vaksin itu difahami secara cetek oleh kita. Sedangkan pembuatannya memerlukan satu proses yang kompleks.
Proses penghasilan vaksin itu bermula dengan peringkat pembiakan, penulinan (purification of virus) sehingga lebih 90 kali supaya virus tersebut benar-benar suci. Supaya virus yang dipetik itu tulin dan bebas dari unsur sampingan lain. Vaksin yang terbentuk nanti dikehendaki adalah tulin dan suci.

Bahkan virus itu bukan seketul dimasukkan tanpa proses kompleks. Ianya mengalami teknik konjugasi (conjugation) terlebih dahulu atau sesetengah dilakukan rekombinan (rekombinan). Maknanya yang terdapat dalam vaksin adalah Purified Inactivated Surface Antigen. Maknanya lagi sudah berlaku satu perubahan struktur di sana. Bukan semata-mata jallalah atau istihalah mahupun istihlak yang difahami dan bahaskan dari sudut hukum, tetapi lebih advance dari itu.

Kebimbangan saya, jika diexplain lanjut kita akan larut dengan istilah. Sebagai orang awam, semakin keliru dengan isu teknikal yang dijalankan oleh pakar dalam bidang tersebut. Sedangkan para pakar perubatan dan ahli agama sudah pun menetapkan kehalalannya. Terima sajalah

That’s why kita ada badan kedoktoran yang terdiri dari pakar-pakar dan berbincang dengan badan keagamaan yang terdiri dari fuqaha serta mufti. Since mereka menetapkan hukum, tidak perlulah kita pertikai sesuatu yang sudah pun dibahas lebar. Kefaqihan mereka secara jamai itu sudah memadai untuk diambil perjalanan hukum ke atas masyarakat umum berbanding pandangan hukum secara peribadi atau perkumpulan sesama antivaksin yang terkeluar dari arus keilmuan.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 30/6/2020